2,000 babi ‘hilang’, 19 ladang kosong

SEREMBAN: Kira-kira 2,000 babi di 19 ladang di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Port Dickson, dipercayai dibawa keluar oleh pemilik ladang tanpa pengetahuan pihak berkuasa berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir, berkata tindakan itu dikesan selepas pasukan pemantau Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri meninjau ladang terbabit dan mendapati ia kosong.

“Pemantauan terhadap 19 ladang berkenaan mendapati tiada lagi babi di situ, disyaki dibawa keluar ke tempat lain, namun kita tiada maklumat sama ada dilupus atau dipindahkan. Kita akan terus memantau dan turut memaklumkan kepada polis,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas promosi Mantai Perdana Online dan meninjau jualan daging serta produk asas tani di Pasar Tani Paroi Jaya hari ini, Bakri berkata, terdapat 20 ladang babi di kawasan terbabit.

Bakri (kanan) meninjau jualan daging di Pasar Tani Paroi Jaya, Seremban, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, ternakan di satu daripada ladang berkenaan telah dimusnahkan selepas dijangkiti Demam Babi Afrika (ASF), awal bulan ini.

Ditanya kemungkinan ada babi dijual murah kepada orang ramai, beliau berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima laporan kemungkinan babi dari 19 ladang berkenaan dijual kepada orang ramai pada harga murah.

“Setakat ini kami tidak menerima laporan adanya jualan murah babi, namun orang ramai diingatkan berhati-hati,” katanya menambah JPVNS akan terus memantau di kawasan berkenaan kerana kes ASF awal bulan ini adalah yang pertama di Negeri Sembilan.

“Kita akan teruskan pemantauan dan saya sudah minta pihak perundangan untuk melihat dari sudut undang-undang, apa lagi tindakan yang boleh diambil,” katanya.

Pada 8 April lalu, JPVNS mengesan beberapa babi dari sebuah ladang di Kampung Baru Tanah Merah Site A, dijangkiti ASF dan susulan itu pihak berkuasa mengambil tindakan melupuskan kesemua 275 ekor ternakan terbabit.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.