200 penghuni 48 rumah diarah kosongkan kediaman
AMPANG JAYA: Lebih 200 penghuni 48 rumah di Taman Bukit Permai 2 di sini, diarah mengosongkan kediaman masing-masing demi keselamatan diri, selain memberi ruang kepada pihak berkuasa membuat kajian terperinci susulan kejadian tanah runtuh semalam.
Pegawai Daerah Hulu Langat, Dr Ani Ahmad, berkata pemantauan awal mendapati ada rekahan tanah di kawasan berkenaan yang dikhuatiri menyebabkan pergerakan tanah berulang lagi.
“Kita perlu melakukan kajian terperinci berhubung perkara ini kerana dibimbangi pergerakan tanah masih berlaku disebabkan rekahan.
“Justeru, penduduk perlu mengosongkan kediaman mereka bagi mengelak insiden tidak diingini memandangkan keadaan cuaca tidak menentu.
“Pada masa ini, kerja pembersihan juga tidak boleh dilaksanakan kerana perlu melihat aspek kestabilan cerun berkenaan,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.
Ani berkata, pihaknya menyediakan pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang terletak di lokasi berhampiran.
“Bagaimanapun, tiada penduduk yang tinggal di PPS berkenaan. Mereka memilih untuk tinggal di rumah saudara, hotel dan inap desa berdekatan. Bagaimanapun, PPS berkenaan masih dibuka untuk penduduk yang mahu tinggal sementara di sana.
“Selain itu, satu pusat pengurusan bencana daerah turut diwujudkan bagi merangka strategi lebih teratur. Ia membabitkan kerjasama beberapa agensi seperti MPAJ, Jabatan Kerja Raya (JKR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.
Sponsored by Egroup88