2 juta rakyat Britain alami gejala COVID-19 berpanjangan

LONDON: Kira-kira dua juta orang di seluruh England dan Scotland masih menderita gejala COVID-19 yang berpanjangan, di mana 381,000 daripadanya mempunyai aktiviti seharian yang terhad, menurut kajian rasmi yang diterbitkan hari ini.

Pejabat Statistik Kebangsaan Britain, memaklumkan 3.3 peratus responden yang ditinjau antara 6 Februari dan 7 Mac melaporkan mereka mengalami gejala COVID yang berlarutan lebih empat minggu sejak jangkitan awal dan tidak dijelaskan oleh keadaan perubatan lain.

Angka itu meningkat sedikit daripada 2.9 peratus orang yang melaporkan gejala COVID-19 berpanjangan dalam tinjauan ONS serupa yang dilakukan pada Mac 2023 yang meliputi seluruh United Kingdom.

Bagaimanapun ONS berkata, kaedah kedua-dua tinjauan itu tidak betul-betul boleh dibandingkan antara satu sama lain.

Tidak seperti di negara besar dan kaya lain, penyertaan tenaga buruh di Britain menurun sejak permulaan wabak COVID-19 pada 2020, memberi tamparan hebat kepada kerajaan dan majikan.

Faktor penyumbang terbesar ialah peningkatan dalam bilangan orang umur bekerja yang menderita sakit jangka masa panjang, yang meningkat sekitar 700,000 sejak pandemik bermula.

Data terbaharu hari ini menunjukkan, 9.1 peratus orang yang tidak bekerja atau mencari pekerja melaporkan simptom COVID-19 yang berpanjangan, hampir tiga kali ganda kadar dalam kalangan keseluruhan penduduk.

Individu berusia 45 hingga 54 tahun berkemungkinan besar melaporkan simptom COVID-19 yang berpanjangan, pada kadar lima peratus daripada kumpulan umur dan wanita berkemungkinan mempunyai lebih 20 peratus melaporkan simptom berbanding lelaki.

Daripada bilangan yang melaporkan gejala COVID-19 yang berpanjangan seperti diterbitkan dalam tinjauan hari ini, kira-kota 51 peratus mengatakan mereka bermula lebih daripada dua tahun lalu dan 71 peratus mengatakan mereka bertahan sekurang-kurangnya setahun.

Britain merekodkan lebih 230,000 kematian akibat COVID-19, memberikannya kadar kematian yang sama dengan Amerika Syarikat (AS) dan Itali tetapi lebih tinggi daripada tempat lain di Eropah barat, berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Data ONS hari ini dihasilkan dengan Agensi Keselamatan Kesihatan UK, berdasarkan sampel 139,000 peserta.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.