16 maut dalam kebakaran kelab malam
YAOUNDÉ: Kerajaan Cameroon hari ini berkata, 16 orang terbunuh dalam kebakaran akibat bunga api di sebuah kelab malam di ibu negara Yaounde, tragedi ketika negara itu menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).
Kementerian Komunikasi dalam kenyataan, berkata laporan awal menunjukkan 16 maut dan lapan cedera parah selepas ‘kebakaran tidak disengajakan’, malam semalam.
Kebakaran itu menyambar bilik utama Kelab Malam Liv di daerah Bastos yang menempatkan kedutaan dan kediaman diplomat.
“Ia berpunca daripada letupan bunga api yang sering digunakan di tempat ini, awalnya membakar siling bangunan, mengakibatkan dua letupan sangat kuat serta panik dan rempuhan,” katanya.
Cameroon menjadi tuan rumah kejohanan AFCON walaupun keganasan kerap berlaku di barat negara itu, di mana militan berbahasa Inggeris mengisytiharkan kemerdekaan daripada negara majoriti berbahasa Perancis pada 2017.
Kedua-dua puak pemisah dan tentera kerajaan didakwa melakukan kekejaman dalam pertempuran, mengorbankan lebih 3,000 mangsa dan memaksa lebih 700,000 melarikan diri.
Sponsored by Egroup88