Pihak berkuasa Bangladesh roboh 1,000 kedai Rohingya
COX’S BAZAR: Pihak berkuasa Bangladesh merobohkan kira-kira 1,000 kedai milik Rohingya di kem etnik itu, kata seorang pegawai hari ini.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kakitangan pertubuhan hak asasi manusia menyifatkan langkah itu akan memberi ‘kesan besar’ terhadap mata pencarian pelarian terbabit.
Kira-kira 850,000 etnik Rohingya kini bersesak dalam 34 kem di seluruh negara itu, kebanyakannya melarikan diri daripada tindakan keras tentera di negara jiran Myanmar pada 2017 yang menurut PBB boleh dianggap pembunuhan beramai-ramai.
Bangladesh, yang dipuji berikutan kesudian menerima pelarian, kini dikecam kumpulan hak asasi manusia kerana sekatan di kem dan tindakan kontroversi memindahkan ribuan pelarian Rohingya ke pulau buatan manusia, Bhashan Char.
Penghantaran ke kem pelarian khusus bagi Rohingya di Teluk Bengal itu dibantah kerana kawasan itu terdedah kepada bahaya ancaman cuaca termasuk taufan dan banjir.
Pegawai kem Bangladesh menggunakan jengkaut, tukul dan penyodok bagi merobohkan kedai di beberapa kem di kawasan Cox’s Bazar bermula semalam dan berterusan hingga hari ini, menyebabkan pemiliknya terkejut dan berebut bagi menyelamatkan barangan mereka.
Timbalan Pesuruhjaya Pelarian, Shamsud Douza, berkata pihak berkuasa sedang merobohkan kedai ‘haram’ di semua kem.
“Kami mengusir dan merobohkan kira-kira seribu kedai haram untuk membina tempat perlindungan tambahan untuk Rohingya,” katanya kepada AFP.
Beratus-ratus etnik Rohingya berkumpul di tapak kedai yang dirobohkan ketika jengkaut giat meratakan struktur buluh dan keluli, dengan ada yang menangis serta panik.
Seorang penyelidik kumpulan hak asasi antarabangsa yang memantau keadaan di kem berkenaan berkata, pihak berkuasa merobohkan kedai untuk menekan Rohingya supaya bersetuju berpindah ke Bhashan Char.
Bangladesh setakat ini mengaturkan penempatan semula kepada hampir 19,000 Rohingya di Bhashan Char.