Media didik masyarakat patuh SOP, ambil vaksin
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengajak seluruh pengamal media untuk bersama kementeriannya terus memainkan peranan dalam mendidik masyarakat mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta galakan mengambil vaksin COVID-19.
Beliau berkata, peranan media sangat penting bukan hanya mendidik masyarakat, bahkan menyampaikan maklumat berita ke seluruh dunia.
Biarpun sempadan negara ditutup sejak dua tahun lalu, hasil berita yang disiarkan dapat disampaikan ke seluruh dunia, khususnya bagi menunjukkan komitmen Malaysia dalam menegakkan dasar berteraskan kepentingan pesakit dan amalan terbaiknya serta memastikan penjagaan kesihatan kekal sebagai hak, bukan keistimewaan.
“Memang tidak dapat dinafikan betapa pentingnya peranan kewartawanan yang sudah memainkan peranannya dalam mempamerkan kepada dunia tahap dedikasi pasukan barisan hadapan yang kita ada. Ia adalah masa sangat mencabar bagi komuniti global dalam memerangi COVID-19.
“Anda sememangnya barisan hadapan media kami, wira kami dalam melawan wabak dengan menyebarkan berita, serta berkongsi harapan melalui beritanya.
“Kamu sudah memainkan peranan besar dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan mematuhi SOP dan keperluan untuk divaksinasi melalui berita yang bermaklumat dan tepat pada masanya,” katanya berucap pada Majlis Anugerah Media Perubatan (MTMA) 2021 berlangsung secara maya malam ini.
Beliau turut mengajak media terus menyokong industri pelancongan penjagaan kesihatan Malaysia, terutama dalam usaha kerajaan untuk membuka kembali pintu sempadan negara, menerusi pematuhan SOP yang ketat kelak.
Pada majlis itu, beberapa pengamal media diumum pemenang bagi kategori yang dipertandingkan. Antaranya BERNAMA yang memenangi ketegori pasukan editorial perubatan terbaik dan membawa pulang RM10,000.