Safee doakan Harimau Malaya berjaya
KUALA LUMPUR: Penjaring terbanyak Piala AFF 2010, Safee Sali menaruh keyakinan semua pemain Harimau Malaya yang dibawa ke Singapura untuk menghadapi Piala AFF 2020 akan bermain bermati-matian demi negara.
Safee turut mendoakan kejayaan anak buah Tan Cheng Hoe walaupun skuad Harimau Malaysia terpaksa berdepan cabaran besar dengan persiapan yang sangat singkat.
“Dalam pasukan kebangsaan, semua pemain yang dipanggil ingin menunjukkan sesuatu kerana pasukan kebangsaan adalah satu kebanggaan.
“Saya rasa siapa yang dipilih akan bermain mati-matian, tapi ini semua bergantung pada kebijaksanaan dan pengalaman pemain yang ada,” kata Safee yang menjulang Piala AFF pada 2010 dan menjadi kejuaraan tunggal Harimau Malaya sepanjang kejohanan itu.
Harimau Malaya akan membuka tirai Kumpulan B dengan menentang Kemboja di Stadium Bishan, Singapura, esok sebelum berdepan Laos (9 Disember), Vietnam (12 Disember) dan Indonesia (19 Disember).
Dalam perkembangan lain, Safee berterima kasih kepada seluruh pasukan Kuala Lumpur City (KL City) kerana melengkapkan trofi kejuaraan buat dirinya selepas muncul juara Piala Malaysia, Selasa lalu.
“Satu kebanggaan untuk diri saya dan pasukan yang akhirnya saya balik ke KL dan bawa sesuatu untuk pasukan. Akhirnya selepas 32 tahun, KL berjaya menang Piala Malaysia dan lengkapkan trofi dan pingat dalam kerjaya saya.
“Alhamdulillah sudah lengkap (trofi kejuaraan) Piala AFC, Liga Super, Piala FA, semua sudah berada dalam kabinet saya,” katanya.
Kejayaan KL City menundukkan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 di pentas final membolehkan Safee menjulang kejuaraan Piala Malaysia buat kali pertama dalam kerjayanya walaupun pernah bersama pasukan gergasi sebelum ini termasuk Selangor dan Harimau Selatan.