Inspektor mengamuk direman 3 hari

GEORGETOWN: Inspektor yang ditahan selepas mengamuk, membuat bising dan mencederakan anggota polis di Lebuh Queen di sini, semalam direman tiga hari hingga esok.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata suspek yang berusia 35 tahun itu kini sedang menjalani rawatan Klinik Pakar Psikiatrik Jalan Perak.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan mengenai tindakan suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk selain kaki kanannya berbalut serta mengeluarkan kata-kata kesat di hadapan sebuah hotel.

Difahamkan, suspek sebelum itu lari dari sebuah hospital di sini ketika menerima rawatan.

Mengulas lanjut Soffian berkata, pihaknya menerima aduan orang awam berhubung kejadian jam 1.30 pagi.

Ketika di lokasi, didapati suspek membuat bising dah dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol. Suspek mengeluarkan kata-kata kesat ketika anggota polis cuba menenangkannya dan enggan memberi kerjasama.

“Anggota polis meminta suspek pergi ke balai berhampiran namun lelaki itu bertindak agresif dan melawan anggota menyebabkan cedera di siku kedua-dua tangannya.

“Semakan mendapati, suspek yang berpangkat Inspektor bertugas di Perak dan sedang menjalani hukuman tahan kerja atas kesalahan tatatertib ,” katanya.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.