New Delhi diselubungi asap dan kabut

NEW DELHI: Ibu kota India kembali diselubungi pencemaran teruk sehingga mahkamah mengarahkan sekolah ditutup hari ini susulan paras asap dan kabut yang tinggi.

Keadaan itu mendorong Mahkamah Tinggi memerintahkan pegawai mengambil tindakan untuk menangani jerebu toksik.

Pada November lalu, kerajaan tempatan bandar itu menutup sekolah tetapi membenarkan kelas disambung pada Isnin lalu selepas mendakwa kualiti udara semakin baik.

Mereka membuat pusingan U pada hari ini selepas sebuah Mahkamah Tinggi memerintahkan pihak berkuasa mengurangkan paras asap dan kabut dalam tempoh 24 jam.

“Budak kecil kena pergi (ke kelas) pada pagi yang dipenuhi asap. Langsung tiada tanggungjawab,” kata Ketua Hakim, N V Ramana, ketika prosiding berlangsung.

Mahkamah Agung meminta kerajaan mengekang pelepasan gas kenderaan dan pencemaran industri yang menjadi punca utama bandar itu diselubungi asap serta kabut termasuk New Delhi yang mencatatkan paras 2.5 PM (bahagian dalam sejuta).

Bahan zarah paling berbahaya sehingga boleh mengakibatkan penyakit paru-paru kronik dan penyakit jantung adalah sekitar 215 mikrogram per meter padu, menurut syarikat pemantau kualiti udara IQAir.

Angka direkodkan itu adalah lebih 14 kali ganda paras maksimum yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bulan lalu, New Delhi menghentikan kebanyakan kerja pembinaan dan mengarahkan penjawat awam bekerja dari rumah kerana kualiti udara di bandar itu merosot.

Sebuah jurnal perubatan Lancet tahun lalu mendedahkan hampir 17,500 orang meninggal dunia di New Delhi pada 2019 kerana pencemaran udara.

Laporan dikeluarkan IQAir tahun lalu pula menunjukkan 22 dari 30 bandar paling tercemar di dunia berada di India.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.