Keputusan Mohd Rafiq satu teladan

KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Melaka perlu menjadi teladan kepada pemimpin politik di negara ini.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan itu mencerminkan kualiti tinggi seorang pemimpin kerana mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.

“Saya kagum dengan tahap kepemimpinan sebegini berbeza dengan pemimpin lain yang pernah ditewaskan pada pilihan raya tetapi masih sibuk berpolitik hingga mengakibatkan banyak kekeliruan dalam negara sekarang kerana masih nak memegang jawatan.

“Saya fikir apa yang dibuat beliau ini perlu menjadi teladan kepada begitu ramai lagi pemimpin besar yang jauh lebih berumur, apabila rakyat sudah tolak, mesti tahu bila nak bersara,” katanya hari ini.

Terdahulu Ahmad Faizal hadir ke Wisma Bernama bagi menghadiri sesi Program Bual Bicara Bersama Menteri Belia dan Sukan disiarkan Bernama TV hari ini.

Mohd Rafiq mengumumkan meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta hari ini bagi memberi peluang kepada kepemimpinan baharu mengetuai BERSATU Melaka dan supaya PN Melaka mempunyai masa mencukupi membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, tiada desakan dibuat supaya Mohd Rafiq meletakkan jawatannya itu.

Dalam perkembangan berasingan, Ahli Parlimen Tambun itu mengalu-alukan kehadiran Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi sebagai ahli BERSATU yang baharu secara rasmi hari ini.

“Saya percaya beliau yakin dengan kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden BERSATU) sama seperti sebilangan besar rakyat yang selesa dengannya.

“Saya harap beliau (Mohamaddin) dapat bekerjasama rapat dengan saya dalam BERSATU dan berusaha mendapatkan sokongan rakyat dalam PRU akan datang melalui gabungan dalam PN,” katanya.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.