Personaliti Icha ceria, mesra mirip Joanna – Suami
SERIAN: Telatah puteri sulung mendiang Laskar Kanan (LK) JJM Joanna Felicia Rohna, yang mesra dan tidak lokek dengan senyuman, mencuit hati rombongan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Nancy menemui Allesia Felice Haslie atau mesra dipanggil Icha yang berusia empat tahun ketika melawat keluarga suami mangsa di Kampung Engkaroh Tebakang, dekat sini hari ini.
“Icha (nama panggilan anak sulung) sama (perwatakan) seperti ‘mummy’ nya… (Joanna) dengan keluarga dia bagus dan banyak tolong kawan-kawan dengan kata-kata semangatnya,” kata suami mendiang, Bintara Muda Haslie Ali, 33.
Selain Icha, wajah anak kedua mereka, Hovannes Haslie yang baru menginjak usia setahun pula mirip mendiang isterinya.
Mengimbau kisah percintaan mereka berdua yang mula berputik di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di Perak sekitar 2018, bapa kepada dua anak itu berkata sikap mendiang yang tegas namun penyayang ‘mencairkan’ hatinya, lantas beliau mengambil keputusan untuk mengenali Joanna dengan lebih dekat.
“Dia junior saya, saya masuk tahun 2013, dia masuk 2017. Perkenalan kami singkat banyak berkomunikasi menggunakan WhatsApp.
“Pada 2019 kami terus mengambil keputusan untuk berkahwin, jadi kami ini kategori bercinta selepas kahwin,” katanya.
Dalam pada itu, anggota TLDM berkenaan mendedahkan seminggu sebelum kejadian, mendiang yang meminati drama Korea secara tiba-tiba berseloroh dengan memintanya menjaga kedua-dua anak mereka, seandainya beliau meninggal dunia.
“Ketika itu dia sedang tengok drama Korea dan ada babak kematian terus dia cakap ‘Mun ku mati tok, jaga anak dua orang ya’ (sekiranya saya meninggal dunia, jaga kedua-dua anak kita) jadi saya fikir isteri saya hanya bermain kata,” katanya.
Anak Bidayuh itu berkata, sempena Hari Gawai pada Jun ini, beliau mahu menunaikan permintaan Joanna yang pernah menyuarakan hasrat untuk menyambut perayaan itu di kampung halamannya sendiri di Kampung Sumpas Tampek, Serian.
“Kalau ikutkan Hari Gawai tahun ini tak dapat saya cuti sebab kena pergi berlayar, tapi fikir setahun sekali sahaja cuti, jadi saya baliklah. Tahun ini akan tunaikan hasrat (mendiang) beraya di kampung,” katanya.
Mengakui anak-anak kecilnya masih belum boleh memahami tragedi yang meragut nyawa ibu mereka, Haslie mengharapkan ahli keluarga wanitanya dapat berkongsi erti kasih sayang ‘ibu’ bersama permata hatinya.
Sementara itu, Nancy yang telah meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama keluarga mendiang berkata, bantuan kaunseling kepada anak-anak semua mangsa nahas helikopter TLDM di Lumut, Perak yang masih bersekolah akan dikendalikan kaunselor di bawah Kementerian Pendidikan.
Beliau berkata, kementeriannya menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula bertanggungjawab menguruskan pendekatan bimbingan kaunseling bagi ahli keluarga mangsa yang memerlukan.
“Pada masa ini, mereka (ahli keluarga mangsa) dikelilingi ramai orang jadi mungkin kuranglah sikit terasa (kemurungan)… tetapi selepas tiga hari mungkin akan mula merasa lebih kemurungan itu jadi sebab itu kita perlu memperkenalkan perkhidmatan yang boleh kita beri untuk membantu keluarga,” katanya yang turut memberi sumbangan awal serta Skim Pemberian Ehsan Kepada Keluarga Mangsa masing-masing berjumlah RM10,000 dan RM3,000 kepada keluarga mendiang.
Nancy juga berkata, kerajaan menerusi kementerian berkaitan kini berusaha menghulurkan bantuan kepada keluarga semua mangsa yang terlibat tragedi itu bagi meringankan beban mereka.
Tragedi Selasa lalu membabitkan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan pesawat Fennec (M502-6) di Pangkalan Tentera Laut TLDM di Lumut, Perak mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita.
Sponsored by Egroup88