Tunku Abu Bakar intai kemenangan di Sepang
SEPANG: Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim berharap dapat menjejak podium apabila beraksi pada pusingan pertama perlumbaan GT World Challenge Asia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), esok.
Anakanda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim itu akan memandu jentera Mercedes Benz AMG GT3 Evo musim ini bersama pasukan Triple Eight JMR.
Tunku Abu Bakar meraih tiga podium musim lalu sekali gus melonjakkannya ke tempat ketiga secara keseluruhan selepas memulakan musim lalu dengan cukup meyakinkan apabila memenangi Perlumbaan 1 pusingan pertama di Thailand.
Tahun ini, Tunku Abu Bakar kembali bersaing dengan rakan gandingan baharu iaitu pemandu remaja Mercedes-AMG 2023, Jordan Love dari Australia.
Saingan tahun ini pasti sengit dengan menampilkan 33 supercar mewakili lapan pengeluar berbeza.
Bagaimanapun, pengalaman dan konsistensi Tunku Abu Bakar musim lalu, ditambah dengan rakan pemandu baharu, menyaksikannya akan menjadi pesaing utama musim ini.
“Saya amat teruja untuk memulakan musim ini di Sepang. Prestasi kami amat baik di sini tahun lalu dan saya tidak sabar untuk meneruskan momentum itu bersama Jordan.
“Matlamat utama kami adalah untuk mendapatkan permulaan yang baik bagi kejuaraan. Jika semuanya berjalan lancar, kami pasti akan berusaha untuk menang minggu ini,” katanya.
Sponsored by Egroup88