Jiran tidak berdosa jadi mangsa kejam along
ORANG lain yang meminjam, orang lain pula yang terkena simbahan cat merah. Itulah nasib beberapa penduduk di Taman Selaseh, Gombak, yang terpaksa menanggung kerugian akibat perbuatan along.
Dalam kejadian pada 25 Januari lalu, tiga kenderaan dan pagar dua buah rumah di kawasan ini rosak selepas disimbah cat merah akibat perbuatan along.
Selain disimbah cat, along terbabit turut meninggalkan sekeping nota di salah sebuah rumah penduduk, mendesak pihak kejiranan untuk memaksa individu yang dicari membayar hutang selain mengancam membakar rumah di situ jika gagal berbuat demikian.
Kata penduduk, insiden simbah cat itu telah bermula sejak beberapa tahun lalu, selepas jirannya yang dipercayai membuat pinjaman itu berpindah ke tempat lain.
Bukan sahaja simbah cat merah, kini along juga semakin berani dan seakan-akan terdesak apabila sanggup meletupkan sebuah kereta milik seorang jurulatih renang di Taman Johor Jaya, Johor Bharu, walaupun itu juga bukan peminjam dicarinya.
Dalam kejadian 1 Februari lalu, kereta jenis Proton Persona milik wanita berusia 21 tahun itu yang diletakkan di luar pagar rumah disedari terbakar selain menemukan sekeping nota amaran.
Malah berdasarkan nota yang ditinggalkan dipercayai penghuni lama ada berhutang dengan along terbabit dan tinjauan polis di kawasan rumah itu juga mendapati pagar kediamannya turut ditampal notis amaran.
Tindakan melulu along ini bukan sahaja meninggalkan trauma dalam kalangan penduduk terlibat, malah boleh menyebabkan kehilangan harta benda serta nyawa jika tidak dibendung sebaiknya.
Namun bagi mengatasi masalah itu, kita sedia sudah maklum, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga tidak berdiam diri dalam menangani kegiatan ini dan sentiasa melakukan operasi serta tangkapan terhadap institusi pinjaman wang tidak berlesen.
Mengikut rekod, sebanyak 734 operasi telah dijalankan sepanjang tempoh Januari hingga Ogos 2023 di seluruh negara dan seramai 898 orang telah ditangkap serta 146 kes telah dibuat pertuduhan.
Selain tangkapan, pihak berkuasa juga mengadakan operasi menurunkan poster dan iklan pinjaman along, meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memadam iklan pinjaman wang tidak berlesen di media sosial dan mengesan along melalui pelbagai sumber.
Biarpun sudah banyak inisiatif dilakukan pihak berkuasa untuk menangani kegiatan along, namun disebabkan sikap ambil mudah sesetengah masyarakat untuk mendapatkan bantuan kewangan menyebabkan ia terus berleluasa.
Perkara itu diakui oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah yang mana kegiatan along berleluasa kerana masih terdapat permintaan daripada masyarakat untuk mendapatkan pinjaman wang menerusi institusi kewangan tidak berlesen.
Menurut beliau, masyarakat ‘tertarik’ kerana tawaran along lebih mudah daripada pinjaman ditawarkan institusi perbankan dan institusi kewangan berlesen.
Sesetengah mereka juga meminjam daripada along adalah kerana ia mudah dan cepat, tiada had yang ditetapkan asalkan boleh bayar balik jumlah pinjaman dan tidak perlukan dokumen sokongan.
Pesan penulis, jika terdesak untuk mendapatkan bantuan kewangan, seeloknya berbincang dan berterus terang dengan ahli keluarga terdekat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk meminjam along walaupun hanya melibatkan jumlah yang kecil.
Jangan mudah terpedaya dengan janji manis along kerana mereka akan bersifat baik ketika mahu memberikan pinjaman, tetapi akan hilang pertimbangan apabila hutang dan bunga mereka yang tinggi tidak dibayar.
Harus diingat, jika sudah membuat pinjaman along bukan keluarga terdekat sahaja menerima natijahnya, malah jiran tetangga juga terkena tempiasnya.
Sponsored by Egroup88