Monster Vicious bawa pulang RM30,000
PUCHONG: Pasukan Monster Vicious membawa pulang RM30,000 selepas muncul juara acara Grand Final Mobile Legends:Bang Bang (MLBB) Kejohanan Esports Malaysia (MEC 23/24), hari ini.
Monster Vicious mempamerkan persaingan sengit pada aksi final di ESI Hub, Spacerubix di sini dengan menewaskan pencabar Todak Legion yang pulang selaku naib juara dan membawa pulang RM15,000.
Pasukan yang disertai Muhammad Aiman Mohamad Abas (Aimji); Ed Asyraaf Darwisy Hayy Mohd Farid (Neyun); Muhammad Fath Zikryfikri Ahmad (Zutod); Muhammad Akmal Harith Alias (Igor) dan Mohamad Ammar Ahmad Jamalulail (SanMar) itu menewaskan Todak Legion dengan keputusan 3-1.
Tempat ketiga dimenangi KELANTAN yang membawa pulang RM10,000 manakala MV Origins berada di kedudukan keempat (RM7,500) manakala Anugerah Pemain Terbaik diraih pemain Todak Legion, Irfan Syahmi Mohamad Pin atau dikenali sebagai Joyboyy.
Pasukan Monster Vicious yang menjuarai Liga Esports Malaysia (MEL) 2023, turut meraih kegembiraan berganda apabila pemainnya Igor diangkat sebagai Rookie Terbaik sekali gus membawa pulang RM2,500.
“Bersyukur kerana kami tak jangka menang. Jujurnya kami rasa 50-50 (untuk menang ke atas Todak Legion) kerana bagi kami, mereka lebih baik. Namun Alhamdulillah, apa yang kami tukar (strategi) menjadi,” kata kapten Monster Vicious, Aiman, hari ini.
Kejohanan bermula pada 15 Januari lalu dengan 114 pasukan bersaing, bermula dari peringkat saringan sehingga ke empat pasukan teratas selain untuk Playoff MEC 23/24 MLBB.
Untuk rekod MEC 23/24 kali ini memasuki musim ketiga dengan menampilkan lima permainan iaitu Player Unknown’s Battleground (PUBG) Mobile, MLBB, DOTA 2, Tekken 7 dan Gran Turismo 7.
Sponsored by Egroup88