Keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib munasabah, berpatutan – Hassan

JOHOR: Keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai munasabah dan berpatutan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata keputusan itu tidak boleh dicabar di mahkamah, sama ada kita bersetuju dengannya ataupun tidak.

Katanya, ini kerana kuasa membuat keputusan oleh Yang di-Pertuan Agong itu adalah bersifat kuasa budi bicara baginda dengan syarat sebelum Agong membuat keputusan berkenaan, satu mesyuarat Lembaga Pengampunan diadakan dan dipengerusikan oleh baginda.

“Sama ada kita bersetuju atau tidak mengenai hal semacam ini, itu adalah persoalan lain. Namun itulah hakikat yang perlu kita terima. Sebagai sebuah negara walaupun demokrasi berparlimen, kita masih mengekalkan sistem Raja Berperlembagaan.

“Satu hal perlu disedari bahawa Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah Mahkamah Belas Ehsan (court of mercy) bukannya mahkamah undang-undang biasa (court of laws),

“Saya menghormati dan sedia dengan hati terbuka menerima keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak kerana Lembaga Pengampunan secara hakikinya tidak memberikan pengampunan terhadap sabitan kesalahan yang telah diputuskan oleh mahkamah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Hari ini, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 dilaporkan memutuskan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Urusetia Lembaga Pengampunan hari ini memaklumkan, Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

“Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib Razak akan ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029,” kata kenyataan berkenaan.

Mengulas lanjut, Hassan yang juga Anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) berkata, dalam undang-undang ada dua perkara apabila seseorang dihukum oleh mahkamah.

Katanya, pertama orang yang dituduh itu disabitkan bersalah dengan kunci perkataannya ialah sabitan.

“Selepas disabit bersalah maka orang yang dituduh itu dijatuhkan hukuman ke atasnya. Kata kuncinya ialah hukuman dan ini berlaku jika si tertuduh itu didapati bersalah,” katanya.

Beliau berkata, keputusan Lembaga Pengampunan tidak melepaskan Najib dan sabitan bersalah ke atasnya tetap kekal.

“Apa yang diringankan ialah jumlah hukuman dari 12 tahun kepada enam tahun sahaja, selain itu jumlah denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

“Dalam isu pengurangan tahun penjara dan pengurangan kuantum denda, jika sesiapa hendak pertikai, boleh sahaja dibahaskan tetapi soal teras dan asas yang perlu dilihat ialah Lembaga Pengampunan tetap menghormati keputusan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan Malaysia dan Mahkamah Persekutuan.

“Mahkamah terbabit mendapati selepas perbicaraan penuh dan selepas rayuan dan semakan bahawa sesungguhnya di atas neraca keadilan Najib adalah bersalah dan sabitan bersalah tidak diberikan pengampunan,” katanya.

Beliau berkata, keputusan Lembaga Pengampunan terhadap kes rasuah dan salah guna kuasa Najib akan dapat mengekalkan semangat dan komitmen Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan SPRM untuk meneruskan komitmen membasmi amalan rasuah.

“Keputusan Lembaga Pengampunan yang teguh mengekalkan sabitan bersalah ke atas Najib telah menghantar isyarat yang jelas kepada mahkamah supaya terus kekal mempertahankan kebebasan mahkamah undang-undang dalam soal keadilan tanpa rasa takut dan pilih kasih,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.