Manfaatkan sebaik mungkin Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 – Anwar
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta jentera kerajaan memanfaatkan sebaik mungkin Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 sebagai landasan untuk meningkatkan profil serta nama negara.
Perdana Menteri berkata, beliau mahu penekanan lebih diberi bagi merakyatkan ASEAN dan merealisasikan komuniti ASEAN yang berpaksikan rakyat.
Katanya, ia adalah penting dalam memacu pembangunan dan pertumbuhan serantau secara kolektif dalam kerangka ASEAN.
Beliau menyentuh perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Peluncuran Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
“Usai solat Jumaat, saya pulang ke pejabat bagi mempengerusikan Mesyuarat Khas Peluncuran Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
“Mesyuarat itu disertai oleh menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha, ketua perkhidmatan kerajaan dan ketua agensi yang berkaitan.
“Sesi itu membincangkan persediaan dari sudut substantif dan logistik bagi Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia yang akan bermula 1 Januari 2025.
“Saya singgung akan peri pentingnya memastikan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 yang lancar, berjaya dan bermakna dengan persediaan rapi,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025.
Sponsored by Egroup88