Jumlah kematian serangan Israel di Gaza melepasi 25,000
DOHA/GAZA: Jumlah rakyat Palestin yang terkorban dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu sudah melepasi 25,000 orang, menurut pegawai kesihatan di Gaza hari ini, di tengah-tengah serangan berterusan Israel di seluruh kawasan yang dikuasai Hamas.
Pertempuran tentera Israel dan pejuang Hamas terus berlaku di beberapa lokasi, dari Jabalia di utara hingga Khan Younis di selatan Gaza.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata, 178 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 24 jam lalu, salah satu hari paling maut sejak konflik tercetus.
Tentera Israel berkata, seorang tenteranya turut terbunuh dalam pertempuran.
“Seramai 25,105 rakyat Palestin terbunuh dan 62,681 cedera dalam serangan Israel sejak 7 Oktober,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Katanya, kematian direkod tidak membezakan antara orang awam dan pejuang, memandangkan kebanyakan mereka yang terbunuh adalah orang awam.
Israel melancarkan kempennya untuk menghapuskan Hamas selepas kumpulan Islam itu menceroboh Israel pada 7 Oktober, membunuh 1,200 orang, kebanyakannya orang awam, selain mengheret 253 tebusan ke Gaza.
Tentera Israel berkata, mereka sudah membersihkan sebahagian besar wilayah utara Gaza daripada rangkaian ketenteraan Hamas dan lebih sejuta penduduk di sana sudah bergerak ke selatan untuk melarikan diri dari pengeboman.
Bagaimanapun, pertempuran berterusan berlaku di kem pelarian Jabalia dan kawasan lain di sekitar bandar Gaza.
Warga Palestin yang masih berada di kawasan itu menggambarkan keadaan yang begitu teruk.
“Kami berjuang untuk bertahan daripada bom, tetapi kami juga cuba bertahan lebih lama dalam kelaparan. Mencari makanan untuk keluarga, anak-anak, lebih mencabar daripada bertahan dalam peperangan,” kata Amer, 32, bapa kepada tiga anak yang tinggal di utara Gaza.
Dia menghantar mesej melalui kad eSIM, satu-satunya alat komunikasi diguna rakyat di Gaza untuk berhubung dengan dunia luar, ketika gangguan talian masih berterusan yang kini sudah memasuki hari kesembilan.
Harga tepung dan barangan lain contohnya, sudah melonjak naik selain ia semakin sukar diperoleh di wilayah daif itu.
Sponsored by Egroup88