Wira Op Daulat, Mohamad Hasnal terima pingat panglima gagah berani
KUALA LUMPUR – “Setiap masa akan teringat… ketika melangkah di Balairung Seri (Istana Negara), menghadap Agong… saya masih terkenang peristiwa itu,” kata Mohamad Hasnal Jamil.
Walaupun sudah lebih sedekad, peristiwa berdarah bertempur dengan pengganas Sulu pada Mac 2013 tidak pernah luput daripada ingatan pegawai polis berpangkat Deputi Superintenden itu, malah ‘parut’ tragedi hitam menjadi penguat dirinya untuk terus berkhidmat kepada negara.
Beliau adalah pegawai polis yang cedera ditembak dan ditetak pengganas Sulu dalam Op Daulat, di Kampung Simunul, Semporna di Sabah pada Mac 2013.
Mohamad Hasnal, 42, menjadi penerima tunggal Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Balairung Seri, Istana Negara di sini hari ini.
Mengakui sebak menerima pengiktirafan itu, Mohamad Hasnal yang kini bertugas di Cawangan Khas Bukit Aman mendedikasikan penganugerahan itu kepada semua rakan seperjuangannya yang terlibat dalam operasi berkenaan termasuk mereka yang gugur.
“Tuanku (Al-Sultan Abdullah) juga tadi (ketika majlis santapan) sempat menzahirkan ucapan terima kasih atas jasa, sumbangan dan pengorbanan saya dan rakan-rakan yang berjuang mempertahankan kedaulatan negara.
“Pada saya, sumbangan saya ini bukanlah besar dan ramai lagi telah berjuang dan berkorban untuk negara, namun pengiktiran ini menjadi satu kenangan untuk sumbangan kecil saya kepada negara,” katanya ketika ditemui Bernama selepas istiadat itu hari ini.
Mohamad Hasnal dilihat menahan sebak dan matanya berkaca apabila menceritakan kembali kejadian yang hampir meragut nyawanya apabila tiga tembakan terkena bahagian perut hingga tembus ke belakang badan dan lengan kirinya.
Selain ditembak, Mohamad Hasnal turut ditetak di kepala dan tangan dengan kapak oleh musuh.
“Sehingga kini, saya masih mendapatkan rawatan susulan untuk membetulkan saraf di bahagian tangan yang tercedera namun ini sedikit pun tidak memberi trauma atau melunturkan semangat untuk terus berkhidmat atau menjalankan tugas.
“Saya anggap ini hanya liku-liku pekerjaan sebagai anggota polis, kalau tidak menempuh cabaran seperti ini bukanlah polis namanya,” kata anak jati Kedah itu.
Pada masa yang sama, pegawai polis itu turut menitipkan pesanan kepada semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk sentiasa bersedia dan menjalankan tanggungjawab dengan penuh ikhlas dan amanah.
“Jangan pernah khianati amanah ini, jika tiba panggilan perjuangan untuk negara… kita sahut dan pergilah berjuang,” katanya
Pada Februari 2013, Malaysia dikejutkan dengan pencerobohan pengganas bersenjata Sulu yang memasuki perairan negara secara berperingkat di Felda Sahabat, Lahad Datu, yang membawa kepada pertempuran pada 1 Mac di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Kampung Simunul, Semporna yang turut mengorbankan 68 pengganas Sulu.
Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013.
Enam anggota polis yang terkorban dalam peristiwa berdarah pada 2 Mac 2013 di Kampung Simunul itu adalah Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, Deputi Superintenden Michael Padel, Sarjan Mejar Baharin Hamit, Sarjan Mejar Abdul Azis Sarikon, Sarjan Salam Togiran dan Koperal Mohd Azrul Tukiran.
Sponsored by Egroup88