Lelaki mati ditembak di Puchong Prima ada 13 rekod lampau
SUBANG JAYA: Lelaki yang ditembak mati dalam kejadian di Puchong Prima di sini, hari ini adalah individu dikehendaki polis yang mempunyai 13 rekod lampau.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata suspek adalah lelaki tempatan dengan tujuh rekod jenayah dan enam rekod kesalahan narkotik.
Katanya, suspek maut selepas berbalas tembakan di hadapan Apartment Sri Acasia, Taman Puchong Prima, di sini jam 3.49 petang tadi.
“Siasatan lanjut masih dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.
“Polis mengesan satu rakaman video berkait kejadian ini tular di media sosial, justeru orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan video berkenaan bagi mengelak kegusaran masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, sekitar kawasan Jalan Puchong Prima 3 gempar apabila bunyi letupan kedengaran dipercayai susulan kejadian tembakan itu.
Satu klip video berdurasi 39 saat memaparkan beberapa lelaki menjerit lalu kedengaran bunyi dipercayai tembakan dilepaskan.
Hussein meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan ke IPD Subang Jaya di talian 0378627222 atau tampil ke balai berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Sponsored by Egroup88