Pengawal selia AS arah pemeriksaan ke atas pesawat Boeing MAX 9 selepas kecemasan

WASHINGTON: Pengawal selia keselamatan udara Amerika Syarikat (AS) semalam memaklumkan menghentikan penerbangan beberapa jet Boeing 737 MAX 9 sementara menunggu pemeriksaan.

Ia diumumkan sehari selepas panel tingkap salah sebuah pesawat berkenaan tercabut ketika melakukan penerbangan merentasi Oregon.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menerusi X memaklumkan, pihaknya memerlukan pemeriksaan segera ke atas beberapa pesawat Boeing 737 MAX 9 sebelum mereka boleh kembali kepada penerbangan.

Katanya, pemeriksaan itu perlu memandangkan kira-kira 171 pesawat sama berada di seluruh dunia, dengan setiap pemeriksaan akan mengambil masa empat hingga lapan jam.

Alaska dan United Airlines menerbangkan bilangan terbesar pesawat MAX 9, sementara Icelandair dan Turkish Airlines memiliki pesawat jenis sama lebih kecil.

Boeing memaklumkan, setakat ini syarikatnya sudah menghantar kira-kira 218 pesawat 737 MAX ke seluruh dunia.

Alaska Airlines yang berpangkalan di AS menggantung semua 65 pesawat Boeing 737 MAX 9 miliknya pada Jumaat selepas penerbangan membawa 171 penumpang dan enam anak kapal terpaksa melakukan pendaratan cemas.

Menurut FAA, Penerbangan Alaska Airlines 1282, yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Portland pada petang Jumaat, berpatah balik dengan selamat dalam 20 minit selepas kru penerbangan melaporkan ‘isu tekanan’.

Pesawat itu segera kembali ke Portland dan tiada kecederaan serius dilaporkan.

Imej dipaparkan di media sosial menunjukkan panel tingkap pesawat tercabut, dengan topeng oksigen tergantung dari siling pesawat.

“Susulan kemalangan dalam Penerbangan 1,282, kami memutuskan untuk mengambil langkah pencegahan dengan menggantung sementara penerbangan kesemua 65 pesawat Boeing 737-9.

“Setiap pesawat hanya akan kembali beroperasi selepas pemeriksaan penuh unit penyenggaraan dan keselamatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Alaska Airlines, Ben Minicucci, dalam satu kenyataan.

Seorang penumpang, Kyle Rinker memberitahu masalah itu berlaku sejurus selepas pesawat berlepas.

“Ia berlaku tiba-tiba. Baru saja mencapai ketinggian, panel tingkap tercabut,” katanya.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB) pula berkata, tiada penumpang duduk di dua kerusi berhampiran panel tercabut itu, bagaimanapun akhbar Oregonian memetik seorang penumpang sebagai berkata, baju seorang budak lelaki yang duduk sebaris di kerusi itu tercabut akibat tekanan secara tiba-tiba.

Seorang lagi penumpang, Vi Nguyen, memberitahu The New York Times, bunyi kuat ketika insiden itu menyebabkan dia tersedar.

“Saya membuka mata dan perkara pertama saya lihat ialah topeng oksigen betul-betul di hadapan saya. Saya melihat ke kiri, mendapati dinding pesawat tercabut. Perkara pertama dalam fikiran, saya akan mati,” katanya.

NTSB menghantar pasukan ke Portland untuk memeriksa pesawat itu, sementara Pengerusi NSTB, Jennifer Homendy berkata ia melegakan kerana insiden itu tidak berakhir dengan tragedi.

“Kami mempunyai sistem penerbangan paling selamat di dunia. Ia amat selamat. Kita perlu mengekalkan standard itu,” katanya.

Homendy mendedahkan pintu pesawat itu jatuh di pinggir bandar Portland di Cedar Hills dan menyeru penduduk untuk tampil ke hadapan jika mereka menemuinya.

FAA dan Alaska Airlines berkata, mereka juga sedang menyiasat.

“Biarpun kejadian seumpama ini jarang berlaku, krew penerbangan kami sudah dilatih dan bersedia untuk menguruskan keadaan ini dengan selamat,” kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan sebelum ini.

Alaska Airlines pada Sabtu berkata lebih satu perempat pesawat Max 9 miliknya sudah diperiksa sejak kejadian itu, tiada sebarang kerosakan ditemui.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.