Eurostar batal perjalanan akibat banjir
LONDON: Ribuan penumpang terkandas menjelang Malam Tahun Baharu apabila 14 perkhidmatan kereta api Eurostar dibatalkan akibat banjir di terowong selatan England.
Terowong berhampiran stesen Ebbsfleet International di Kent ditenggelami air ketika Pejabat Kaji Cuaca mengeluarkan amaran hujan, salji dan ais merentasi sebahagian besar negara itu.
Eurostar, yang menjalankan perkhidmatan dari London ke Paris, Brussels dan Amsterdam melalui Ashford, memohon maaf kepada pelanggan atas gangguan berkenaan.
Southeastern Railway berkata: “Tiada kereta api berkelajuan tinggi dijangka melakukan perjalanan hari ini antara St Pancras dan Ashford International.
“Kami sedang berusaha untuk membaiki banjir di terowong.”
Dalam satu kenyataan, Southeastern menambah bahawa “banjir antara Ebbsfleet International dan London St Pancras International bermakna semua laluan disekat.”
Ia berkata, banjir menjejaskan kedua-dua terowong kereta api berhampiran Ebbsfleet, bermakna kedua-dua terowong ditutup.
“Ini bermakna tiada kereta api antara London St Pancras International dan Ebbsfleet International,” katanya.
Gangguan itu berlaku selepas kesatuan Perancis menamatkan mogok yang menyebabkan pelancong terkandas dan menggantung pengangkutan beberapa hari sebelum Krismas.
Perkhidmatan kereta api Eurostar disambung semula pada 22 Disember lalu selepas persetujuan dicapai.
Kesatuan Eurotunnel berkata, rundingan membuahkan “hasil yang memuaskan hati kami”.
Eurostar dimiliki 55.75 peratus oleh SNCF Voyageurs milik negara Perancis.
Ia hampir muflis ketika pandemik COVID-19 namun diselamatkan dengan 290 juta euro (AS$320.6 juta/RM1.47 juta) daripada pemegang saham termasuk kerajaan Perancis.
Sponsored by Egroup88