CGS International selesai ambil alih CGS-CIMB Securities

KUALA LUMPUR: CGS International Holdings Ltd (CGI) telah selesai mengambil alih baki saham CIMB Group Sdn Bhd dalam CGS-CIMB Securities.

Pengambilalihan itu membabitkan 25.01 peratus kepentingan CIMB Group dalam CGS-CIMB Securities International Pte. Ltd (CSI) dan 25 peratus kepentingan kumpulan itu dalam CGS-CIMB Holdings Sdn Bhd (CCH).

Susulan pengambilalihan itu, CSI dan CCH secara kolektif dirujuk sebagai ‘CGS-CIMB Securities’.

“Selepas selesai pengambilalihan opsyen beli kedua, CGS-CIMB Securities kini dimiliki sepenuhnya oleh CGI,” kata CGS-CIMB Securities dalam satu kenyataan hari ini.

CGS-CIMB Securities berkata, ia akan terus menawarkan suite komprehensif perkhidmatan yang bertumpukan kepada pelanggan dan produk seperti perdagangan ekuiti, pengurusan kekayaan, perbankan pelaburan, penyelidikan ekuiti dan perkhidmatan pembrokeran utama.

Ketua Pegawai Eksekutif CGS-CIMB Group, Carol Fong, berkata sejak 2018, CGS dan CIMB Group telah bekerjasama untuk mengembangkan CGS-CIMB Securities menjadi salah satu penyedia perkhidmatan kewangan bersepadu terkemuka di Asia.

“Melangkah ke hadapan, kami akan mengukuhkan kedudukan kami sebagai penghubung China-ASEAN dan pintu masuk ke Asia dengan menghubungkan pelanggan kami dengan lebih banyak peluang pelaburan di rantau ini, khususnya di China,” katanya.

CGI ialah anak syarikat China Galaxy Securities Co Ltd, firma sekuriti keempat terbesar di China.

Pada 2018, CIMB dan CGI memeterai perjanjian usaha sama bagi mengendalikan perniagaan pembrokeran saham serantau di Asia, menerusi penjualan 50 peratus kepentingan CIMB Group dalam perniagaan pembrokeran sahamnya kepada CGI.

Jualan itu menggabungkan opsyen beli untuk CGI bagi mengambil alih pegangan CIMB Group dalam CGS-CIMB Securities.

CGI telah melaksanakan opsyen beli pertamanya dan selesai mengambil alih 24.99 peratus dan 25 peratus kepentingan dalam CSI dan CCH, masing-masing daripada CIMB Group pada Disember 2021.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.