Jerman benam India, mara ke final
KUALA LUMPUR: Jerman selangkah sahaja lagi untuk menamatkan penantian sedekad mereka merampas semula Piala Dunia Hoki Remaja (JWC) Lelaki, selepas menewaskan India 4-1 dalam aksi separuh akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Pasukan dengan rekod kejuaraan tertinggi itu, iaitu sebanyak enam kali, mengawal permainan sejak mula apabila Ben Hasbach menjaringkan gol sulung pada minit kelapan.
India bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan tiga minit kemudian apabila hayunan Sudeep Chirmako memasukkan bola pada sudut kanan atas gawang Belanda.
Pasukan nombor tiga dunia, India kemudiannya giat mengasak dalam suku kedua dan berjaya mencipta enam pukulan sudut penalti, namun Jerman teguh bertahan sebelum kembali mendominasi apabila Hasbach menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-30.
Jerman, yang terlepas kejuaraan edisi lepas kepada Argentina 2-4, merapatkan jurang dengan pukulan sudut penalti Paul Glander pada minit ke-41, manakala Florian Sperling mencetak gol dalam jarak dekat, melepasi halangan Shashikumar Mohith Honnenahalli, pada minit ke-58, sekali gus mengesahkan kemaraan ke final JWC kelapan mereka.
Pada perlawanan akhir Sabtu ini, dijadualkan bermula 8.30 malam, Jerman akan menentang pemenang perlawanan antara Perancis dan Sepanyol, manakala pasukan yang kalah akan bertemu India untuk penentuan gangsa.
Jerman menjuarai Piala Dunia bawah 21 tahun itu pada 1982, 1985, 1989, 1993, 2009 dan 2013, manakala India membawa pulang piala pada 2001 dan 2016.
Sponsored by Egroup88