Kolaborasi SPRM-MAPCU, dekati mahasiswa benci rasuah
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengulangi pendirian komited badan siasatan itu memerangi gejala rasuah tanpa kompromi di negara ini.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM bertekad meneruskan usaha murni membanteras perbuatan rasuah dengan menjalinkan kerjasama utuh bersama agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi negara.
Kata beliau, bersempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa 2023 (HARA 2023), pihaknya telah menjalin kerjasama dengan Persatuan Kolej dan Universiti Swasta Malaysia (MAPCU) dalam menyebar luas mesej antirasuah kepada mahasiswa.
Beliau berkata, kolaborasi tersebut bertujuan membawa mesej tegas dan jelas kepada anak muda mengenai bahaya rasuah.
“Kita di Malaysia pada hari ini menyambut HARA dengan pelbagai aktiviti yang boleh memberi manfaat terutama kepada masyarakat serta anak muda.
“Pastinya ia dianjurkan untuk memupuk kesedaran terhadap kepentingan kita menentang gejala rasuah.
“Lebih istimewa pada tahun ini, kita di SPRM menjalin kerjasama dengan MAPCU dan kesediaan persatuan ini menjadi rakan kongsi menangani isu rasuah,” katanya pada Sabtu.
Beliau berkata demikian sebagai amanat khas sempena sambutan HARA 2023 yang diadakan di Universiti Asia Pacific (APU), dekat sini.
Ucapan beliau itu disiarkan menerusi satu rakaman video pada majlis tersebut.
Hadir sama Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Timbalan Naib Canselor Pembangunan Akademik APU, Prof Ts Dr Murali Raman.
Mengulas lanjut, Azam berkata, kerjasama yang dilakukan bersama MAPCU itu membuktikan kesungguhan SPRM membenteras rasuah dalam kalangan mahasiswa.
Jelas beliau, kerjasama itu juga menjadi mesej jelas bahawa SPRM sangat serius dalam membawa kesedaran memerangi rasuah dalam kalangan masyarakat khususnya golongan anak muda.
Menurut beliau, semua pihak pastinya tidak sanggup untuk melihat generasi muda yang merupakan bakal pemimpin negara terjerat dalam perangkap rasuah.
Sehubungan kerjasama baik itu katanya, SPRM sangat berbesar hati apabila kolej dan universiti swasta yang bernaung di bawah MAPCU komited menyebar luas antirasuah.
“SPRM mahu masyarakat tidak sesekali berkompromi dengan amalan rasuah.
“Kita pastinya mahu sebuah negara yang adil saksama dan memartabatkan nilai kejujuran, integriti serta memelihara maruah manusia.
“Oleh yang demikian, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu padu dan terus melawan rasuah,” ujarnya.
Sponsored by Egroup88