KKM nafi katil hospital penuh, tidak mencukupi seperti tular di WhatsApp
SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan katil di wad hospital penuh dan tidak mencukupi seperti mana dakwaan dalam rakaman nota suara yang tular di aplikasi WhatsApp baru-baru ini.
KKM menerusi hantaran di Facebook berkata, audio tersebut adalah sama seperti mana pernah ditularkan pada 2021 dan kini diedarkan secara berleluasa menerusi aplikasi berkenaan untuk menimbulkan keresahan orang awam.
“Terdapat satu rakaman suara tular kebelakangan ini mengulas kadar kematian semakin meningkat dalam kes ‘brought in dead’ (BID) sekali gus isu katil di wad hospital penuh dan tidak mencukupi juga dibangkitkan semula.
“Serta penularan wabak baharu dari Afrika juga telah menyebabkan kematian mendadak dalam satu masa,” katanya pada Ahad.
Sehubungan itu, KKM meminta orang ramai untuk tidak menyebarkan berita palsu sehingga boleh menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada terhadap penularan wabak Covid-19 yang masih kekal.
“Rakyat perlu mengambil langkah pencegahan kesihatan awam dengan sentiasa mengamalkan 3W (cuci, pakai, amaran) dan mengelakkan 3S (kawasan sesak, kawasan sempit, bersembang jarak dekat).
“Mereka juga perlu menjalankan ujian Covid-19 sekiranya bergejala, dapatkan vaksin termasuk dos penggalak, menerima rawatan awal dan antiviral Paxlovid sekiranya positif wabak ini,” ujarnya.
Sponsored by Egroup88