2 sungai di Johor, Terengganu melebihi paras bahaya
KUALA LUMPUR: Paras air sungai di dua kawasan masing-masing di Johor dan Terengganu sudah melepasi tahap bahaya sejak jam 7 petang tadi.
Kawasan itu adalah Sungai Benut di Simpang Renggam, Kuang, Johor manakala di Terengganu pula di Parit Utama, Padang Kemunting, Kuala Nerus.
Di Terengganu, empat kawasan berada di tahap amaran dan waspada iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu, Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman, Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang dan Sungai Nerus di Kampung Bukit (F1), Setiu.
Setakat jam 8 malam tadi, seramai 3,203 mangsa banjir dipindahkan membabitkan tiga buah negeri iaitu, Perak, Terengganu dan Kelantan.
Ia membabitkan 863 keluarga dengan 30 pusat pemindahan banjir dibuka.
Di Perak sahaja, seramai 39 mangsa di satu pusat pemindahan banjir manakala di Terengganu pula, sejumlah 2,848 mangsa ditempatkan di 24 pusat dan 316 di lima pusat di Kelantan.
Sponsored by Egroup88