Kerajaan negeri sedia gerakkan 40 pam percepat aliran air di kawasan banjir

SHAH ALAM: Kerajaan negeri bersedia menggerakkan 40 pam tambahan di pintu kunci air bagi mempercepatkan aliran air, terutama di lokasi berisiko banjir pada musim tengkujuh ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim, berkata usaha kerajaan negeri ini bertujuan mengelakkan kejadian banjir besar berulang.

“Kita sudah banyak pam, dengan tambahan 40 lagi pam tersedia untuk digerakkan di mana-mana lokaliti (banjir).

“Jumlah ini membabitkan 30 pam daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd dan 10 lagi yang ditempah sebelum ini.

“Selain pam, kena berjaga dengan generator. Kalau ada pam, tiada generator, tiada guna.

“Justeru, Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga diminta bersedia menggerakkan generator mereka bagi pam air yang menggunakan tenaga elektrik ini,” katanya kepada media selepas pembentangan Belanjawan 2024, di sini hari ini.

Mengenai perkembangan di Taman Sri Muda katanya, kerja-kerja menaik taraf pam air berjalan lancar dan dijangka siap selewat-lewatnya Februari tahun depan.

Katanya, apabila siap nanti, ia akan mempunyai sembilan pam air kesemuanya dengan kapasiti pengepaman 13,000 liter per saat.

“Ini membabitkan keseluruhan kos RM6.8 juta termasuk menaik taraf parit di lokasi berkenaan.

“Kerajaan Persekutuan juga sudah meluluskan peruntukan RM160 juta bagi pembinaan tembok penghalang banjir, khusus di Seksyen 25 (Taman Sri Muda),” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.