KKM terima pakai pendekatan pajakan peranti, aset mulai tahun depan
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menerima pakai pendekatan pajakan bagi peranti perubatan, aset perubatan dan ambulans, mulai tahun depan, dalam usaha meningkatkan perkongsian awam-swasta yang lebih erat, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) kementerian itu, Datuk Seri Norazman Ayob.
Pada masa sama, beliau berkata, kementerian tidak akan lagi membeli aset perubatan secara terus kecuali untuk barangan tertentu yang bernilai rendah atau marginal.
Misalnya, aset seperti mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), imbasan Tomografi Berkomputer (CT) dan ultrasound, akan dipajak.
“Kami akan memajak peranti perubatan berdasarkan asas sewa pajak untuk digunakan,
“Kami juga akan memajakkan ambulans kami. Kami tidak akan mempunyai ambulans sendiri lagi. Kami sedang mencari sumber luar perkhidmatan ambulans, termasuk penggunaan aplikasi digital, dan pesakit tidak perlu lagi menghubungi nombor kecemasan.
“Ia seperti perkhidmatan Grab di mana kami boleh mengesan dan menjejaki ambulans. Kami telah menetapkan petunjuk prestasi utama dari segi masa tindak balas ambulans,” katanya pada Persidangan Penjagaan Kesihatan KPJ 2023, di sini, hari ini.
Norazman berkata, KKM juga akan menyumber luar beberapa perkhidmatan perubatannya, justeru sedang meneliti perkara berkenaan meliputi perkhidmatan kardiologi.
“Kami akan melihat kumpulan hospital swasta mana yang boleh memenuhi keperluan kami dari segi piawaian serta harga, dan kemudian kami akan mula menyumber luar pesakit kepada mereka.
“Selain menguruskan kesesakan di hospital, ini juga akan memberi peluang serta kemudahan kepada pesakit kita dan tidak lagi perlu datang jauh-jauh ke Kuala Lumpur, contohnya IJN (Institut Jantung Negara). Kini, mereka berpeluang atau mempunyai kemudahan untuk dirawat di hospital tempat mereka berada,” katanya.
Sponsored by Egroup88