FAM usah ‘goyang’

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya jelas membayar harga yang mahal susulan kekalahan 0-2 di tangan Tajikistan pada final Pestabola Merdeka 2023 apabila ranking skuad negara jatuh tiga anak tangga ke-137.

Selepas cemerlang mendaki anak tangga demi anak tangga dalam kedudukan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sehingga kedudukan 134 dunia, rentak skuad bimbingan Kim Pan Gon tersekat pada kemas kini ranking terbaharu.

Meskipun mata keseluruhan meningkat 1.82 mata untuk menghimpun 1096.72 mata namun kekalahan sulung selepas tujuh perlawanan itu menyaksikan skuad negara ‘tergelincir’ buat kali pertama dalam kemas kini ranking FIFA tahun ini.

Justeru, adakah kebimbangan susulan kejatuhan ranking ini akan membuatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ‘insaf’ sekali gus lebih berkira-kira untuk menentang pasukan yang berada pada ranking lebih kuat selepas ini?

Pemerhati bola sepak negara, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berpandangan situasi itu sedikit sebanyak mungkin membimbangkan badan induk itu apatah lagi mereka dalam misi untuk memperbaiki ranking namun perlu mencari peluang menguji pasukan lebih kuat.

Namun, Zulakbal yang juga Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu mengharapkan FAM tidak terlalu ‘goyang’ dengan kejatuhan ranking itu lebih penting adalah pemain negara mendapat pendedahan dan peluang berdepan pasukan pada tahap yang lebih baik.

“Dalam usaha FAM nak kekalkan ranking, tiba-tiba ranking kita jatuh sehingga tiga anak tangga jadi sudah tentulah ada kebimbangan sedikit. Tetapi apa yang boleh kita buat adalah kenal pasti cara terbaik dalam pengiraan ranking.

“Antaranya kita lihat posisi lawan yang kalau kita kalah sekalipun, ranking kita tidak terjejas sangat. Cuma FAM tak perlu takut sangat (ranking jatuh) asalkan pemain kita mendapat manfaat dan impak positif daripada sesuatu perlawanan.

“Jangan berhenti untuk menentang pasukan lebih baik kerana kita pasti mendapat sesuatu daripada perlawanan yang diharungi. Contohnya lawan Tajikistan, memang kita kalah tetapi sudah tentu ada pengajaran yang berguna buat pasukan dan pemain kita,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.