Keputusan kuatkuasa kesalahan letak kenderaan depan rumah diketahui Rabu ini

PASIR GUDANG: Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) akan membuat keputusan pada Rabu ini berhubung pelaksanaan penguatkuasaan kesalahan meletakkan kenderaan di hadapan rumah dan menghalang laluan mengikut Undang-Undang Kecil, Jalan, Parit dan Bangunan.

Datuk Bandar MBPG, Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata ia akan diputuskan dalam satu mesyuarat dan jika mendapat persetujuan Ahli Majlis, penguatkuasaannya akan dilaksanakan secara berfasa.

Katanya, pelaksanaan penguatkuasaan larangan meletak kenderaan di hadapan kediaman bertujuan menjaga keharmonian antara jiran-jiran di bandar raya ini.

“Untuk permulaan ini kita akan buat sesi kesedaran mengenai penguatkuasaan undang-undang kecil ini kepada masyarakat. Kita menjangkakan sehingga akhir tahun proses kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat ini akan diberikan,” katanya pada sidang media bersama 24 Ahli Majlis MBPG di Menara Aqabah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Asman Shah berkata pihaknya menerima banyak aduan meletakkan kenderaan menghalang laluan atau di tempat tidak sesuai.

Katanya, tahun lalu sebanyak 242 aduan, dan tahun ini sehingga bulan lalu saja sebanyak 349 aduan diterima dengan 95 peratus pengadu adalah jiran.

“Sebenarnya semangat kejiranan semakin terhakis dan kita ada terima laporan pergaduhan dengan jiran.

“Kita tidak terus kompaun jika terdapat kesalahan, selalunya notis akan diberikan terlebih dahulu kepada pemilik kenderaan yang menghalang laluan.

“Notis itu diberi tempoh sehingga 21 hari untuk pemilik kereta mengambil tindakan penambahbaikkan. Selepas itu jika tiada tindakan pemulihan, kita akan kompaun.

“Kita tidak akan kompaun terus, kita akan beri notis dulu. Kompaun RM100 hingga maksimum RM2,000 bagi kesalahan berulang,” katanya.

Asman Shah berkata, pihaknya sedia maklum mengenai taman perumahan lama yang mana ruang jalan dan kediaman sempit dan dekat.

Katanya, MBPG tidak akan mengeluarkan kompaun sekiranya kenderaan yang diletakkan di hadapan rumah tidak menghalang laluan.

“Baru-baru ini timbul isu meletakkan kenderaan terlalu rapat sehingga menyukarkan lori mengangkut sampah tidak boleh lalu.

“Isu tentang aduan kutipan sampah berlaku sebab kelewatan dan kesukaran mengutip sampah di kediaman kerana laluan terhalang.

“Kita kena ambil tindakan terhadap aduan. Kita terima aduan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) yang dikendalikan kementerian, ia perlu diselesaikan dalam tempoh 72 jam atau tiga hari.

“Setakat ini lapan notis diberikan kepada pemilik kenderaan yang menghalang laluan berdasarkan aduan lengkap yang diterima pihak kami. Tiada kompaun dikeluarkan setakat ini,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.