Nur Shazrin kekal di tempat pertama
HANGZHOU: Atlet pelayaran kebangsaan Nur Shazrin Mohamad Latif dilihat tidak mempunyai masalah meneruskan persembahan cemerlang walaupun menempuh perlumbaan yang sukar di Pusat Pelayaran Ningbo Xiangshan, kira-kira 170 kilometer dari sini, hari ini.
Nur Shazrin yang bermula cemerlang dalam empat perlumbaan ILCA 6 wanita terdahulu buat julung kali mengakhiri saingan di posisi keempat pada perlumbaan ketujuh selepas mengakhiri perlumbaan kelima dan keenam masing-masing di kedudukan ketiga dan pertama.
Namun, pemenang pingat gangsa Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 itu masih mengungguli carta kedudukan di hadapan atlet Singapura Victoria Chan dan wakil Hong Kong Stephanie Norton masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Pengurus skuad pelayaran ke Sukan Asia Hangzhou 2022 Lawrance Yeow percaya Nur Shazrin mampu mengekalkan momentum cemerlang sehingga ke perlumbaan penentuan pingat Jumaat depan, biarpun tuah tidak memihaknya hari ini.
“… harapnya beliau boleh kekalkan momentum dan tiada yang mustahil. Jika cuaca juga tidak berubah akan jadi perlumbaan baik untuk beliau. Setakat ini cuaca berpihak pada beliau, angin tidak terlalu kuat dan perlahan,” katanya.
Nur Shazrin akan menyambung baki perlumbaannya pada Isnin depan.
Sementara itu, Lawrance tidak menolak kemungkinan seorang lagi atlet pelayaran negara Tengku Nurani Ezaty Tengku Khairudeen berpeluang sekurang-kurangnya merangkul gangsa acara RS:X wanita sekiranya turut berjaya mengekalkan momentum selepas memanjat ke kedudukan ketiga.
Pada saingan hari ini, Tengku Nurani menamatkan perlumbaan ketujuh dan kelapan masing-masing di tempat ketiga sekali gus berjaya memintas atlet India Ishwariya Ganesh yang jatuh ke kedudukan keempat.
Turut berpeluang menaiki podium adalah Muhammad Asnawi Iqbal Adam dalam acara ILCA 4 lelaki yang kini menduduki tempat keempat selepas enam perlumbaan apabila berjaya mengungguli perlumbaan kelima, namun mengakhiri perlumbaan keenam di tempat keenam.
“Melihat kepada prospek pingat ketika ini adalah Nur Shazrin, Tengku Nurani dan Muhammad Asnawi. Peluang Khairulnizam (Khairulnizam Mohd Affendy) seakan sukar, mungkin kehilangan peluang tempat ketiga ILCA 7, masih boleh bersaing, namun ia tugas sukar,” kata Lawrance.
Khairulnizam yang merupakan pemenang pingat perak dua kali Sukan Asia menduduki tempat kelapan dalam kedua-dua perlumbaan kelima dan keenam sebelum mengakhiri perlumbaan ketujuh di posisi ketujuh hari ini.
Mengulas lanjut, Lawrance berkata pasukan tidak menghadapi masalah besar berkaitan bot dan juga peralatan lain setakat ini.
Sponsored by Egroup88