India merampas harta pemisah Sikh terkemuka

NEW DELHI: Agensi penyiasatan tertinggi India hari ini merampas harta seorang pemisah Sikh terkemuka dan sekutu rapat Hardeep Singh Nijjar, yang pembunuhannya mencetuskan perbalahan diplomatik antara India dan Kanada.

Pemisah Sikh, Gurpatwant Singh Pannun yang juga seorang peguam dipercayai berpangkalan di Kanada, diklasifikasikan sebagai pengganas oleh pihak berkuasa India pada 2020 dan dikehendaki atas tuduhan keganasan dan hasutan.

Dia juga pengasas kumpulan Sikhs For Justice (SFJ) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), di mana di Kanada ia diketuai oleh Nijjar sebelum ditembak mati oleh penyerang bertopeng pada Jun lalu berhampiran Vancouver.

Kumpulan itu diharamkan oleh India kerana menjadi penyokong untuk penciptaan tanah air Sikh merdeka bernama Khalistan.

Berikutan kematian Nijjar, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, berkata terdapat sebab yang boleh dipercayai untuk mempercayai bahawa ejen kerajaan India terbabit dalam kematian Nijjar.

Bagaimanapun New Delhi menolak dakwaan Trudeau sebagai tidak masuk akal, seterusnya pengusiran diplomatik dan India berhenti memproses permohonan visa oleh warga Kanada.

Dalam temu bual dengan saluran berita India, Pannun berkata, Nijjar menjadi rakan rapatnya selama lebih 20 tahun dan seperti adik kepadanya.

Dia juga menyalahkan India atas pembunuhan Nijjar.Sejurus selepas wawancaranya disiarkan, kerajaan India mengeluarkan nasihat kepada rangkaian berita meminta mereka mengelak daripada memberi platform kepada orang yang dituduh melakukan jenayah kejam.

Berbekalkan perintah mahkamah, pegawai Agensi Penyiasatan Kebangsaan (NIA) India hari ini merampas rumah Pannun di Chandigarh, ibu negeri majoriti Sikh di Punjab.

NIA juga merampas tanah pertanian miliknya di Amritsar.

NIA juga mendakwa Pannun secara aktif menggesa samseng dan belia yang berpangkalan di Punjab di media sosial untuk memperjuangkan negara Khalistan yang merdeka, mencabar kedaulatan, integriti dan keselamatan negara.

Kempen Khalistan sebahagian besarnya dianggap sebagai gerakan terkawal sehingga awal 1980-an, apabila seorang fundamentalis Sikh melancarkan pemberontakan pemisah yang ganas.

Ia memuncak dengan tentera India menyerbu Kuil Emas, kuil paling suci agama di Amritsar.

Perdana menteri India, Indira Gandhi kemudiannya dibunuh oleh dua pengawal peribadinya yang Sikh.

Pemberontakan akhirnya dapat dikawal dan penyokong gerakan Khalistan yang paling lantang kini adalah antara diaspora Sikh yang besar, khususnya di Kanada, Britain dan Australia.

Namun, peristiwa keganasan yang mengakibatkan beribu-ribu orang mati masih menghantui India, hingga mengharamkan pergerakan Khalistan dan menyenaraikan beberapa kumpulan yang berkaitan sebagai organisasi pengganas.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.