Liza Aziz dukung Allahyarham Sudirman lepas ‘show’

KUALA LUMPUR: Penyanyi legenda Liza Aziz gagal menahan air matanya apabila mengenangkan momen bersama Penghibur Nombor Satu Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad. 

Menjadi antara individu paling akrab dengan Sudirman semasa hayatnya, Liza menyifatkan kenangan persembahan Allahyarham di Konsert Gergasi di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada 14 April 1986 sebagai antara memori paling indah dalam hidupnya.

“Konsert di Chow Kit adalah yang paling hebat. Ketika itu, arwah sudah bersedia, tetapi pentas belum siap. Kami tertanya macam mana, pentas belum siap? Sedangkan persembahan akan bermula. Dengan secepat kilat, pentas akhirnya dinaikkan.

“Arwah sangat genius. Ketika itu, beliau menjadi duta pelancongan. Beliau mempunyai visi untuk buat konsert berskala besar dan percuma, tetapi persoalannya di mana? Chow Kit katanya.

“Selalunya beliau akan buat persembahan secara eksklusif, bila terdetik untuk buat konsert, kami juga tertanya-tanya, kenapa Chow Kit dengan keadaan trafik yang sesak, ramai orang.

“Ia memang betul-betul di Jalan Chow Kit, orang membanjiri hingga ke Dataran Merdeka. Tiada skrin gergasi dipacakkan. Penonton yang jauh daripada pentas, hanya dengar suara arwah menyanyi saja.

“Lebih kurang 15 hingga 20 lagu juga arwah nyanyikan dalam konsert tersebut,” kongsinya yang mula bekerja dengan arwah Sudirman pada 1984 sebagai penyanyi latarnya.

Pelantun lagu Tak Rela itu ditemui pada Konsert A Tribute To Sudirman di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang turut menampilkan penyanyi Hazama, Ernie Zakri dan Arish Mikael pada Ahad lalu.

Anak kepada kepada pasangan Allahyarham Seniman Aziz Jaafar dan Seniwati Normadiah itu turut menceritakan saat akhir bersama Sudirman sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Saya rasa bertuah dapat bekerjasama dengan arwah, beliau sangat berbakat. Beliau banyak beri tunjuk ajar kepada kami, malah tidak lokek dalam memberi idea.

“Beliau juga seorang yang merendah diri, saya rasa ralat apabila tidak dapat berjumpa dengan arwah. Saya adalah orang terakhir yang menghubungi arwah ketika beliau benar-benar sakit.

“Saya sendiri tidak mengenali suaranya. Tidak seperti Sudirman langsung. Beliau berkata, itu akan jadi saat terakhir saya bercakap dengannya sebab beliau benar-benar sedang sakit.

“Selepas dua hari, beliau dimasukkan ke hospital. Saya tidak dapat jumpa ketika arwah menghembuskan nafas terakhir kerana ada show di Brunei. Itu yang membuatkan saya benar-benar ralat,” kongsinya sambil mengesat air mata.

Kongsi adik kepada penyanyi Azlina Aziz itu, banyak momen manis yang diciptanya bersama bintang legenda itu seperti baju bendera yang disarungkan Sudirman adalah hasil tangannya.

“Selama saya bekerja dengan arwah, beliau mahu hasilkan album dan buka syarikat rakaman sendiri. Beliau juga ada beritahu mahu buat album kepada Uji Rashid dan saya, tetapi apakan daya tidak kesampaian.

“Kemudiannya, baju bendera arwah yang ada labuci, sayalah yang jahitkan. Saya dengan arwah ibu saya, bergilir-gilir jahitkan buat arwah.

“Beliau bangga dapat buat persembahan dengan baju tersebut.

“Setiap kali kami adakan persembahan ‘private’, Abang Sudir (panggilan untuk arwah) akan menjemput saya untuk berduet. Bila persembahan selesai, selalunya arwah akan mendukung wanita tetapi sebaliknya saya pula mendukung beliau.

“Bayangkan, walaupun beliau bertubuh kecil, tetapi berat juga.

“Itulah pengalaman yang saya tak dapat lupakan bersama arwah. Saya berbangga berada di pentas DFP untuk menjayakan konsert tribute untuk beliau,” kongsinya gembira.

Sudirman mula mencipta nama selepas dinobatkan juara Bintang RTM 1976 sehingga diberikan jolokan sebagai Penyanyi Peguam, Penyanyi Rakyat dan Elvis Malaysia.

Beliau juga turut dinobatkan sebagai Penghibur Terbaik Asia di Asian Popular Music Awards pada tahun 1989.

Allahyarham Sudirman menghembuskan nafas terakhir di rumah kakaknya di Bangsar, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1992. 

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.