Kerajaan negeri sealiran dengan persekutuan mudahkan pembangunan
KUALA LUMPUR: Generasi kedua FELCRA termasuk generasi baharu di negara ini akan menjadi penentu sama ada kerajaan di enam negeri bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) sealiran dengan Kerajaan Persekutuan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, gagal atau berjayanya sesebuah kerajaan di negeri itu juga adalah di tangan golongan itu.
“Saya amat yakin dengan sokongan serta semangat gelombang yang berlaku bagi enam negeri ini supaya dapat memperlihatkan perubahan rakyat di desa, kawasan pinggir bandar dan kawasan bandar di seluruh negeri mahupun seluruh negara.
“Kerajaan negeri yang akan memilih pentadbiran baharu wajib bersama dengan Kerajaan Persekutan di Putrajaya supaya Kerajaan Perpaduan dapat terus membantu semua negeri yang sealiran dengannya.
“Untuk itu, peranan generasi kedua FELCRA dan generasi kedua serta susun lapis masyarakat lain mesti komited untuk bersama mendokong aspirasi dan cita-cita kerajaan memajukan seluruh negeri tanpa sebuah satu pun terpinggir,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Apresiasi Generasi Kedua FELCRA Berhad, di sini hari ini.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan hanya memberikan insentif kewangan kepada generasi kedua itu, sebaliknya turut memberi peluang pendidikan, pekerjaan dan peluang dalam mempertingkatkan ekonomi usahawan.
“Disebabkan itu ia harus didukung oleh semua, namun dukungan ini bukan dalam bentuk retorik kerana ia tidak mencukupi tetapi harus dizahirkan dengan memberi sokongan kepada cita-cita murni yang kita lakukan ini.
“Kita lihat banyak peningkatan yang sudah dilakukan, diharapkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu dapat bersama Kerajaan Persekutuan di Putrajaya seterusnya memberikan kesinambungan dan kesejahteraan kepada rakyat.
“Harapan ini amat tinggi, harapan cukup menggunung dan saya harap kita bersama dan benar komited untuk mendokong cita-cita baik dan murni Perdana Menteri,” katanya.
Sponsored by Egroup88