Jangan ukhuwah Islamiah terjejas hanya kerana perbezaan politik
KUALA LUMPUR : Ikatan ukhuwah Islamiah tidak wajar terputus sesama umat Islam hanya kerana perbezaan politik.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ini kerana Islam adalah lebih tinggi daripada parti politik.
“Walaupun politik adalah sebahagian daripada Islam, kerana Islam menuntut untuk kita menjaga keseluruhan aspek kehidupan termasuklah politik.
“Saya mohon semua dapat membezakan dan jangan sesekali kita sewenangnya menjatuhkan tahap kekafiran seseorang hanya kerana kita berbeza politik.
“Jangan sesekali kita putus ikatan ukhuwah Islamiah hanya kerana kita berbeza politik,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan berikutan tersebar satu video dipercayai kempen sempena PRN yang memaparkan seorang warga emas menganggap mengundi UMNO atau BN akan ‘kafir sampai kiamat’.
“Video yang dipertontonkan itu menyedihkan kita, kerana masih ada lagi ahli di peringkat akar umbi yang begitu fanatik, terpengaruh dengan kepimpinan yang dulunya menanam satu ideologi dan doktrin mengundi UMNO dan BN, jatuh akidah kita, kafir dan masuk neraka,” katanya.
Sponsored by Egroup88