KUALA SELANGOR: Satu laporan polis dibuat hari ini meminta siasatan dibuat terhadap pihak yang memuat naik hantaran di laman sosial mengandungi gambar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang diubah suai bersama dakwaan pemimpin itu tidak pandai berbahasa Inggeris.

Laporan dibuat pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) selepas mendapati hantaran itu yang berunsur fitnah dan mengaibkan Hajiji, tular.

Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar, berkata Hajiji sentiasa menjadi mangsa fitnah dengan tuduhan terbaharu kononnya Ketua Menteri Sabah teruk berbahasa Inggeris walaupun belajar sehingga Amerika Syarikat (AS).

“Mereka buat poster dengan mesej mempersoalkan kenapa Hajiji yang belajar sampai Amerika, bahasa Inggerisnya teruk sampai selalu mengelak soalan wartawan dalam bahasa Inggeris. Ia tuduhan cukup jahat seolah-olah Hajiji tidak belajar di AS,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, di sini hari ini.

Zulkarnain menjelaskan, Hajiji mempunyai kelulusan akademik peringkat ijazah dari AS dan sebelum menceburi bidang politik, pernah menjadi pegawai Kastam dan fasih berbahasa Inggeris.

“Saya tanya rakan media di Sabah, tidak pernah sekali pun Hajiji menolak untuk temu ramah dalam bahasa Inggeris,” katanya menganggap cubaan mengaibkan Ketua Menteri Sabah itu sebagai melampau sedangkan mereka sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

“Kalau serang dengan fakta tiada masalah, tapi ini serang dengan fitnah,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.