‘MIC buat keputusan tak mahu letak calon di Negeri Sembilan’ – Zahid
KAJANG: Tindakan tidak meletakkan calon MIC untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan diputuskan sendiri kepemimpinan parti itu.
Perkara itu dimaklumkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beliau selaku Pengerusi Barisan Nasional (PN) menghormati keputusan dibuat itu.
“Dalam ucapan pemimpin MIC (ketika perjumpaan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim), mereka merasakan parti itu sepatutnya mendapat lebih banyak kerusi pada PRN sedangkan mereka adalah calon boleh menang di Negeri Sembilan.
“Bagaimanapun, MIC membuat keputusan sebaliknya apabila tidak mahu meletakkan calon bertanding di negeri itu.
“Jadi, keputusan itu adalah keputusan kepimpinan parti berkenaan. Maka, saya selaku Pengerusi BN tentulah menghormati keputusan terbabit dan saya menyantuni bukan sahaja timbalan presiden, malah juga beberapa pemimpin lain,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kantan Permai di sini, hari ini.
Terdahulu, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran ketika berucap pada pertemuan bersama Perdana Menteri memaklumkan parti itu mahu meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang di Negeri Sembilan, malah sudah berbincang dengan Menteri Besar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Berucap di hadapan kira-kira 500 ahli MIC pada majlis yang turut dihadiri Ahmad Zahid itu, beliau menegaskan wakil MIC boleh menang di kerusi DUN itu, tetapi UMNO sendiri berebut kerusi berkenaan.
Vigneswaran yang mengakui tidak menyangka Ahmad Zahid menyertai perjumpaan itu secara terbuka meminta Presiden UMNO itu tidak ‘menganaktirikan’ MIC.
Jelas Vigneswaran, MIC telah memberi sokongan tidak berbelah bahagi untuk Kerajaan Perpaduan, namun tidak tanduk yang kurang menyenangkan menyebabkan akar umbi parti berasa kecewa.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengakui barisan kepemimpinan MIC dilihat ikhlas menyokong calon yang diketengahkan Kerajaan Perpaduan untuk bertanding pada PRN di enam negeri dan ia turut dizahirkan melalui ucapan pemimpin parti itu dalam perjumpaan khas kepemimpinan MIC hari ini.
“Saya dapati ucapan tadi beliau menyokong sepenuhnya bukan sahaja calon-calon BN, tetapi juga calon daripada parti-parti Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Sponsored by Egroup88