Arab Saudi tolak penemuan pakar PBB isu Salma, Nourah

DUBAI: Dua wanita Arab Saudi yang dihukum penjara lebih 30 tahun kerana menggunakan media sosial, ditahan sewenang-wenangnya dan harus dibebaskan, demikian menurut penemuan pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dilihat AFP, hari ini.

Tempoh hukuman penjara panjang ke atas Salma al-Shehab dan Nourah al-Qahtani pada tahun lalu itu, khususnya mengenai hantaran di Twitter yang mengkritik kerajaan, meningkatkan pemerhatian global terhadap dakwaan penindasan di bawah Putera Mahkota Mohammed Salman, yang cuba menjenamakan semula kerajaan Teluk itu sebagai terbuka untuk perniagaan dan pelancongan.

Dalam laporan bertarikh 19 Jun dan dikongsi dengan AFP, Kumpulan Kerja PBB mengenai Penahanan Arbitrari, sebuah panel pakar bebas mendapati wanita itu ditahan sewenang-wenangnya dan `remedi yang sesuai adalah membebaskan’ mereka.

Panel itu menyatakan, dua wanita berkenaan harus diberi `hak yang boleh dikuatkuasakan untuk pampasan dan ganti rugi lain, mengikut undang-undang antarabangsa’.

Katanya, terdapat bukti boleh dipercayai bahawa Salma berdepan `layanan yang kejam, tidak berperikemanusiaan atau merendahkan maruah’ ketika dalam tahanan.

Dakwaan penderaan terhadapnya termasuk `ancaman, penghinaan, gangguan dan kaedah tidak wajar yang digunakan ketika soal siasat’ seperti `mengambil kesempatan daripada kemurungan (Salma) dengan menyoal siasatnya pada tengah malam, sejurus selepas dia mengambil ubat anti kemurungan dan pil tidur.

Sumber laporan itu termasuk lima kumpulan yang mewakili dua wanita berkenaan, antaranya pertubuhan hak asasi ALQST, Democracy for the Arab World Now dan Kumpulan Hak Asasi MENA.

Dalam maklum balas kepada panel pakar, Arab Saudi menolak penemuan itu sebagai `tidak berasas’ dan berkata, mereka kekurangan `bukti sokongan’.

Kerajaan berkenaan berkata, proses penghakiman berjalan dengan adil dan menafikan Salma dianiaya.

Pegawai Saudi tidak memberi maklum balas kepada permintaan AFP untuk mendapatkan komen, hari ini.

Salma, seorang ahli minoriti Syiah dalam kerajaan majoriti Sunni sedang melanjutkan pengajian dalam ijazah kedoktoran di Britain apabila dia ditangkap pada Januari 2021 ketika sedang bercuti.

Wanita itu berkata, dia ditahan selama 285 hari dalam kurungan bersendirian sebelum disabitkan kesalahan pada Mac 2022 oleh mahkamah yang membicarakan kes keganasan.

Bukti terhadapnya termasuk muat naik yang memperjuangkan hak wanita dan ciapan semula seorang aktivis hak wanita Saudi yang terkenal.

Pada Ogos, dia dijatuhi hukuman penjara 34 tahun dan dilarang melancong ke luar negara selama 34 tahun lagi.

Nourah menerima hukuman penjara 45 tahun pada tahun lalu kerana menggunakan Twitter untuk `mencabar’ Putera Mohammed dan bapanya, Raja Salman.

Dokumen mahkamah yang dilihat AFP pada tahun lalu, menggambarkan satu akaun tanpa nama, yang mana Nourah mengkritik kerajaan dan menciap semula muat naik yang memberi amaran mengenai percubaan untuk menangkap mereka yang berada di sebalik protes awam, yang tidak boleh diterima di Arab Saudi.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.