Menteri ada pas VIP, tak timbul isu ‘ceroboh’ Balai Ketibaan KLIA
KUALA LUMPUR: Isu Datuk Seri Tiong King Sing ‘menceroboh’ Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak timbul kerana semua anggota Jemaah Menteri mempunyai pas khas VIP untuk tujuan itu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata dengan pas itu, Jemaah Menteri termasuk King Sing yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya boleh memasuki setiap ruang di KLIA.
“Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah bagi laporan kepada saya semalam (Jumaat) dan semasa YB Tiong (King Sing) berada di KLIA itu, memang diiringi polis bantuan dan anggota keselamatan MAHB.
“Dari segi isu pas keselamatan, itu tak jadi isu…sebenarnya setiap menteri ada pas VIP untuk masuk ke lapangan terbang walaupun kadangkala kita bukan mengambil penerbangan.
“Semalam (Jumaat) pun saya berada di lapangan terbang, bukan saya mengambil penerbangan, tetapi saya lancarkan satu penerbangan, jadi saya masuk ke kawasan larangan seperti balai berlepas dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa DAP negeri di ibu pejabat parti itu di Seremban hari ini.
Penjelasan Loke itu senada dengan kenyataan media King Sing susulan insiden itu semalam apabila Ahli Parlimen Bintulu itu memaklumkan beliau memiliki pas yang sah untuk memasuki kawasan tersebut.
Sebelum ini, tular mengenai kejadian di Balai Ketibaan KLIA apabila seorang menteri didakwa cuba melepaskan seorang pelawat China yang ditahan imigresen.
King Sing meskipun mengakui menteri dimaksudkan itu dirinya, menafikan dakwaan beliau cuba berbuat demikian seperti dilaporkan sebuah portal media dalam talian.
Menerusi kenyataan media, King Sing mempersoal siapa sebenarnya menyalah guna kuasa dalam kejadian itu, sama ada beliau atau pun pegawai Imigresen bertugas, selain mendedahkan kehadirannya ke KLIA itu membongkar budaya rasuah dalam kalangan pegawai di pintu masuk negara itu.
Loke ketika ditanya mengenai butiran insiden di Klia itu, bagaimanapun memaklumkan tidak pasti apa sebenar yang berlaku kerana tidak berada di lokasi ketika kejadian selain tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Lain-lain itu dari segi isu dengan Jabatan Imigresen (JIM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan buat siasatan lebih terperinci dan mungkin akan dibincangkan di peringkat Jemaah menteri nanti,” katanya.
Sponsored by Egroup88