Bayaran pencen rendah didakwa punca pesara hidup daif, tertekan
PUTRAJAYA: Semakan kadar pencen pesara kerajaan perlu mengambil kira keadaan ekonomi semasa dan kos sara hidup untuk membantu kumpulan sasar yang tertekan dan daif berikutan bayaran sedia ada tidak mencukupi.
Demikian syor Persatuan Pesara Kerajaan dan Swasta (PEJASMA) selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kelmarin memaklumkan, akan meneliti semula pindaan Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 yang diputuskan tidak sah dan batal oleh Mahkamah Persekutuan.
Presiden PEJASMA, Datuk Azih Muda meminta JPA dan Jabatan Peguam Negara (AGC), ketika membuat penelitian berkenaan, turut melihat mana-mana klausa dalam akta terbabit yang boleh dipinda bagi memastikan semakan pencen pesara kerajaan dapat dilakukan .
Beliau turut meminta dua jabatan itu memastikan semakan pencen mestilah tidak terikat dengan semakan gaji sektor awam.
“Pindaan pada Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen 1980 perlu dibuat kerana beban kos sara hidup, keadaan ringgit yang melemah selain kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), inflasi dan sebagainya terus menekan rakyat.
“Bagi pesara kerajaan yang bayaran pencennya rendah, mereka hidup dalam keadaan tertekan sekarang, amat daif, duit tidak mencukupi untuk menjalani kehidupan,” katanya kepada BH, hari ii.
Semalam, BH melaporkan kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr Zulkapli Mohamad, agensi itu akan meneliti semula pindaan Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 yang diputuskan tidak sah dan batal oleh Mahkamah Persekutuan.
Sementara itu, Azih yang juga bekas Presiden CUEPACS, berkata pihaknya amat kecewa dengan perkembangan terbaharu itu.
“Pada 2013, dijanjikan kenaikan dua peratus setiap tahun, tapi bila mahkamah putuskan Sekyen 3 dan Seksyen 7 bercanggah dengan Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan, kita amat kecewa kerana sebelum pindaan dibuat, AGC sudah menyemak perkara ini, begitu juga JPA.
“Kita tahu semakan gaji sektor awam sudah terlalu lama tidak berlaku. Kalau ikut Akta Pencen 1980, pesara akan menikmati faedah bila semakan gaji itu berlaku atau mengikut kerajaan, lima tahun sekali. Masalahnya ini bukan lagi lima tahun, tetapi sudah lama tidak ada semakan gaji.
“Ini juga bermakna, kalau kembali kepada akta lama, iaitu Akta Pencen 1980, maka pesara tidak akan ada benefisiari,” katanya turut meminta kerajaan, khususnya JPA dan AGC melihat semula apakah bentuk pindaan yang selaras dengan Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.
“JPA dan AGC perlu tubuhkan pasukan petugas khas bersama bagi mengkaji perkara ini. Kami cadangkan supaya kaji semula mana-mana klausa yang boleh dipinda dan semakan pencen ini mestilah tidak terikat dengan semakan gaji sektor awam.
“Kalau hanya harap dengan semakan gaji dalam keadaan politik dan kesungguhan politik yang tidak menentu, agak susah untuk berlaku (pindaan),” katanya.
Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan pindaan terhadap Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 kurang memberi manfaat kepada pesara perkhidmatan awam, sekali gus mengisytiharkannya terbatal dan tidak sah.
Panel lima hakim sebulat suara turut memutuskan bahawa peruntukan berkenaan yang membenarkan kenaikan kadar rata dua peratus setahun, bercanggah Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan (perlindungan hak pencen) berbanding Akta Pelarasan Pencen 1980 sebelum ini.
Sponsored by Egroup88