Carragher bimbang Arab Saudi pikat ramai bintang
LONDON: Jamie Carragher memberi amaran mengenai pemain bola sepak profesional yang berada dalam kemuncak mereka kini dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Arab Saudi sambil mendakwa ‘penyucian menerusi sukan ini perlu dihentikan’.
Ia hadir selepas Bernardo Silva dilaporkan ditawarkan ‘peluang bernilai mewah bagi menyertai kelab Liga Pro Saudi’, dengan Carragher mendakwa ia akan ‘mengubah permainan’.
Menurut Marca, pemain tengah berusia 28 tahun itu semakin hampir berhijrah ke Timur Tengah dan dia adalah antara ramai bakat besar, termasuk pemain Chelsea, Hakim Ziyech dan Edouard Mendy, yang boleh meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris untuk ke Arab Saudi musim panas ini.
Pasukan Liga Pro Saudi menjadi terkenal dalam pasaran perpindahan kebelakangan ini apabila berjaya mendapatkan beberapa pemain agak berusia termasuk pemain Chelsea, N’Golo Kante dan bintang Real Madrid, Karim Benzema.
Kelab seluruh Eropah meminta ‘siasatan adil dalam pasaran’ terhadap pembelian mewah berkenaan dan pengulas Sky, Carragher menekankan mengenai kebimbangan apa yang dilakukan negara terbabit dalam sukan golf, bola sepak dan tinju.
“Bernardo Silva berada dalam tahun kemuncaknya dan menjadi seorang daripada pemain terbaik Eropah sejak lima tahun lalu!’ kata Carragher menerusi Twitter.
“Saya tidak bimbang Liga Saudi mengambil pemain dalam lingkungan 30an, sedikit bimbang mengenai pemain di bawah kelas elit (Ruben Neves) tapi jika ini berlaku, saya rasa ia seperti satu perubahan besar.
“Saudi sudah mengambil alih golf, perlawanan tinju dan kini mereka mahu mengambil alih bola sepak!! Penyucian menerusi sukan ini perlu dihentikan!”.
Sponsored by Egroup88