‘Bertanding secara anak jantan’

ALOR SETAR: Setiap gabungan parti yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang diajak bertanding secara ‘anak jantan’ tanpa menggunakan sebarang dana dan harta milik kerajaan.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata setiap parti yang bertanding pada PRN perlu berkempen atas kekuatan dan kapasiti parti masing-masing.

“Saya harap proses demokrasi akan berjalan sepanjang pembubaran hingga pengundian dan pembentukan kerajaan, jangan guna harta, dana, agensi atau jabatan kerajaan untuk berkempen.

“Saya harap semua parti akan bertanding secara anak jantan, jangan cakap lain, tetapi buat lain,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata, beliau juga sudah mengarahkan semua EXCO di Kedah menyerahkan kenderaan rasmi milik kerajaan negeri pada hari pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka dibuat pada 28 Jun depan.

“Semua EXCO kena pulangkan kenderaan rasmi masing-masing kerana kita nak sepanjang berkempen, mereka tak guna harta kerajaan.

“Saya harap parti lain juga guna kaedah sama, kalau ada lori yang dibeli dengan harta kerajaan maka simpan dahulu,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.