RM20 juta peruntukan GPPK untuk keselamatan komuniti

SUNGAI PETANI: Kerajaan memperuntukkan Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) sebanyak RM20 juta menerusi Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) kepada persatuan penduduk seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata permohonan geran itu boleh dilakukan bermula esok menerusi sistem eROSES.

“Peruntukan sebanyak RM20 juta itu boleh memberi manfaat sehingga 2,000 persatuan penduduk yang setiap satunya layak menerima sehingga RM10,000.

“Objektif GPPK adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan dalam komuniti dan meningkatkan penglibatan pertubuhan dalam hal ehwal keselamatan komuniti setempat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program KDN Madani Bersama Menteri Dalam Negeri di Sekolah Latihan Asas Kepolisan Kuala Muda di sini, hari ini.

Saifuddin berkata GPPK juga bertujuan untuk membudayakan keselamatan tanggungjawab secara bersama.

“Jadi saya gesa persatuan penduduk mengambil kesempatan ini untuk membuat permohonan dan memanfaatkan geran itu bagi menggerakkan kegiatan dalam komuniti khususnya yang terkait dengan membina kesedaran dan pembabitan dalam aspek keselamatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata pihaknya menerima banyak permohonan bagi mendapatkan status kewarganegaraan dan beliau mensasarkan 10,000 permohonan akan dapat diselesaikan bagi tahun ini.

“Daripada sasaran itu, sebanyak 8,288 permohonan sudah diselesaikan dan hari ini kita serahkan sijil kelahiran dan MyKad kepada 15 penerima,” katanya.

Seorang penerima sijil kelahiran, Nur Adilla Abdullah, 19, berkata, ibu angkatnya, Lina Ranjeet Abdullah, 60, membuat permohonan kewarganegaraan sejak 2016.

“Bagaimanapun status ketika itu masih dalam proses jadi selepas sekolah menengah saya tidak dapat sambung belajar lagi kerana tidak ada MyKad, selepas ini dapatlah sambung belajar dalam bidang kemahiran di GiatMARA,” katanya.

Lina pula berkata dia mengambil Nur Adilla sebagai anak angkatnya sejak usianya lima tahun.

“Ibunya tinggalkan dia kepada seorang wanita Indonesia, bila usia lima tahun, masalah untuk bersekolah lalu saya ambil anak angkat.

“Sekarang Nur Adilla bekerja sambilan di warung, saya harap selepas ini dia boleh berdikari,” katanya.

Seorang lagi penerima status warganegara, Tan Kai Shian, 23, berkata dia sangat gembira berjaya memperolehi MyKad selepas membuat permohonan sebanyak tiga kali.

Katanya, kedua ibu bapanya tidak membuat pendaftaran perkahwinan di negara ini menyebabkan dia tidak mendapat status warganegara.

“Susah saya nak minta kerja dan ambil lesen..sekarang ini saya kerja biasa-biasa sahaja dan berharap dapat pekerjaan yang lebih baik selepas ini,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.