‘Baca buku sejarah, jangan main suara politik picisan…’ – Anwar
GEORGETOWN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur pemimpin yang tidak membaca sejarah, sebaliknya menggunakan bahagian tertentu sejarah sebagai isu politik yang membangkitkan keresahan rakyat.
Merujuk isu Pulau Pinang milik Kedah dicetuskan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Anwar mengingatkan pemimpin supaya tidak menggunakan ilmu politik untuk tujuan picisan, sebaliknya digunakan untuk selamatkan rakyat.
“Betul atau tidak Pulau Pinang kepunyaan Kedah? Ya benar dahulu. Siapa tandatangan perjanjian 1957? Sultan Kedah, Sultan Badlishah Sultan Abdul Hamid Halim Shah tandatangan untuk nyatakan Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan lain-lain negeri bentuk Persekutuan Tanah Melayu.
“Kemudian ada perjanjan lain seperti Inggeris Siam, Perjanjian Inggeris-Belanda yang memecahkan Kerajaan Melayu Johor-Riau. Jadi pemimpin kena baca semua ini, jangan guna ilmu politik untuk tujuan picisan, gunakan untuk selamatkan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Temu Anwar di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, petang tadi.
Anwar menegaskan, pemimpin juga perlu berilmu dan membaca sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan atau mencetuskan isu.
“Baca buku sejarah itu, bila baca sejarah Siam bagaimana? Bagaimana Brunei di Sarawak, Sulu di Sabah dan sebelum itu Kerajaan Sriwijaya. Jadi baca, kalau nak jadi pimpinan lebih lagi mencabar. Jangan main suara politik picisan, guna ilmu dan selamatkan rakyat,” katanya.
Pada 29 Mei lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.
Berikutan itu, sejumlah laporan polis dibuat terhadapnya sebelum pada 7 Jun lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakam percakapan Muhammad Sanusi berhubung kenyataannya itu.
Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dipetik berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, sudah merakam percakapan pemimpin itu di Pejabat Menteri Besar Kedah, Alor Setar.
PDRM kini dalam tindakan melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdeka, namun tidak menyatakan secara terperinci butiran rakaman percakapan berkenaan.
Muhammad Sanusi kemudian menyingkap sejarah bagaimana Kedah terpaksa memajak Pulau Pinang kepada Francis Light pada 1786.
Beliau antara lain menjelaskan, Kesultanan Kedah mempunyai susur galur pemerintahan yang tidak pernah terputus selama 1,000 tahun dengan Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang memerintah ketika ini, adalah Sultan Kedah Ke-29.
Jelasnya lagi, peristiwa penjajahan Light dan penipuan Inggeris berlaku kepada Kesultanan Kedah pada 1786, 1821, 1863 dan 1923 yang berlaku ketika pemerintahan Sultan Kedah Ke-20, 21 dan 22.
Menteri Besar juga merujuk sejarah ketika Kedah dikatakan dijajah oleh Siam dan bayaran ufti oleh negeri berkenaan kepada kerajaan Ayutthaya.
Sponsored by Egroup88