Ringgit tidak akan cecah paras 5.0 berbanding dolar AS

RINGGIT tidak akan mencecah paras 5.0 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kerana Malaysia tidak mengalami sebarang bentuk krisis, kata Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Mohamad Zahid.

Beliau berkata, bank pusat tidak melihat sebarang trend membimbangkan atau tekanan spekulatif; jadi paras 5.0 sudah tentunya tidak akan berlaku dan tidak realistik.

“Semasa kita mengalami penurunan paras daripada 2.5 kepada 3.0, dan kemudiannya 4.0, kita berada dalam krisis. Tetapi sekarang, kita tidak mengalami krisis.

“Oleh itu tidak ada sebab untuk terlalu memikirkan tentang paras dolar-ringgit,” katanya pada perbincangan panel bertajuk ‘Navigating Ringgit Exchange Rate Dynamics’ (Menangani Dinamik Kadar Pertukaran Ringgit).

Acara itu diadakan bersempena dengan Simposium Sasana BNM 2023 bertemakan Pembaharuan Struktur, Bagi Malaysia yang lebih Teguh, yang diadakan di sini, hari ini.

Adnan berkata, walaupun bank pusat menyedari ada sesetengah orang yang mahu melabur di luar negara, pengeksport yang teragak-agak untuk membuat pertukaran asing, atau pengimport yang merancang membeli lebih pantas, ini akan diuruskan dengan baik mengikut kemampuan BNM dalam menguruskan rizab.

“Sudah tentunya kita akan terus melihat pergerakan turun naik dalam ringgit-dolar, namun kita tidak nampak ringgit akan menuju ke arah tersebut (paras 5.0).

“Mungkin kita akan mencecah paras 4.0 jika kita boleh pulih dengan pantas, Kita boleh mencapai paras itu,” katanya.

Sementara itu, melihat kepada keseluruhan prestasi ringgit dalam kadar pertukaran efektif nominal (NEER), Adnan berkata ringgit secara relatifnya agak stabil meskipun krisis siling hutang dan perbankan di AS dan kelemahan ekonomi China, memandangkan hubung kait yang tinggi antara Malaysia dan China, dengan eksport ke China menyumbang 13.6 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.

Beliau berkata, pasaran kewangan tempatan masih kukuh kerana sebahagian besar pelabur negara terbatas dalam institusi rasmi, dana pencen, syarikat insurans dan syarikat pengurusan aset.

“Kebanyakan daripada mereka menguruskan portfolio mereka berbanding indeks bon global. Oleh itu penting bagi negara untuk meneruskan beberapa dasar dan melakukan pembaharuan yang perlu agar bon kita terus kekal menarik kepada pelabur asing,” katanya.

Sementara itu, ketua pasaran kewangan Standard Chartered Bank Malaysia, Sylvia Wong berkata, daripada perspektif sektor komersial dan swasta, Malaysia secara umumnya masih dianggap sebagai destinasi pelaburan yang baik bagi pelabur asing memandangkan antara lainnya lebihan akaun semasa dan perdagangan yang kukuh — eksport bernilai RM1.6 trilion pada 2022 –, kecairan fleksibel dalam pasaran modal dan mudah untuk menjalankan perniagaan di negara ini.

“Bagaimanapun, daripada perspektif pengurus wang, pendekatan biasanya lebih berjangka pendek dan bukannya berjangka sederhana dan panjang, yang mana pertama sekali, mereka cenderung melihat kepada pengambilan risiko, dan itu adalah keadaan makro.

“Sebagai contoh, krisis perbankan AS adalah pengelakan risiko. Keduanya mereka mengkaji pasaran sedang pesat membangun berbanding pasaran maju dan sama ada mereka boleh mendapatkan hasil dan pulangan yang lebih baik daripada pasaran sedang pesat membangun atau pasaran maju.

“Ketiganya, mereka akan melihat kepada pendapatan tetap atau ekuiti. Jadi, umumnya, pengurus wang cenderung melihat kepada ketiga-tiga faktor utama ini dan perbezaan antara satu dengan lain, bergantung kepada masa dan apa yang memacu aliran,” katanya.

Wong berkata, sektor swasta berharapkan kepada kestabilan dan mahu eknonomi sebenar tumbuh pesat di samping dapat membantu industri lain turut berkembang.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.