Jualan luar biasa PROTON bantu DRB-Hicom kembali untung
KUALA LUMPUR: DRB-HICOM Bhd kembali mencatat keuntungan pada suku kewangan pertama berakhir 31 Mac 2023 dengan keuntungan bersih RM107.91 juta berbanding kerugian bersih RM25.74 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Hasil juga meningkat 33.7 peratus kepada RM4.10 bilion daripada RM3.07 bilion sebelum ini berikutan prestasi yang lebih baik dalam sektor automotif dan perbankan kumpulan, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Dalam kenyataan berasingan, DRB-HICOM berkata hasil sektor automotifnya meningkat 46.3 peratus kepada RM3.02 bilion pada suku pertama 2023 daripada RM2.07 bilion sebelum ini disebabkan oleh peningkatan dalam bahagian pasaran dan prestasi jualan kereta semua jenama dalam kumpulan itu.
“Terutamanya PROTON, ia mencapai pertumbuhan luar biasa pada suku pertama 2023 dengan 40,287 unit terjual berbanding 26,706 unit dalam tempoh yang sama pada tahun kewangan 2022 dipacu oleh model-model utama, termasuk Proton X50 yang terus popular sejak diperkenalkan di pasaran,” katanya.
Sektor perbankannya juga meningkat 33.1 peratus kepada RM379.29 juta pada suku dalam tinjauan berbanding RM284.99 juta setahun lalu terutamanya disebabkan oleh pendapatan pembiayaan yang lebih tinggi diterajui oleh pertumbuhan volum pembiayaan.
Hasil untuk sektor perkhidmatan meningkat sebanyak 10.6 peratus kepada RM204.37 juta pada suku pertama 2023 berbanding RM184.82 juta pada suku pertama 2022 didorong oleh perniagaan katering dalam penerbangan dan kontrak baharu daripada perniagaan logistik.
Sektor aeroangkasa dan pertahanan juga mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM168.63 juta pada suku pertama 2023 daripada RM160.32 juta sebelumnya terutama disebabkan oleh penghantaran pesawat lorong tunggal dan bahagian-bahagian pesawat tertentu yang lebih tinggi.
“Bagaimanapun, sebahagiannya ini diimbangi oleh penghantaran produk pertahanan yang lebih rendah,” katanya.
Mengenai prospek, konglomerat itu berkata pengenalan model-model baharu yang menampilkan teknologi termaju daripada jenama di bawah kumpulan itu, seperti Honda, Mitsubishi dan Isuzu serta Modenas, dijangka meningkatkan kelebihan daya saing DRB-HICOM.
“Sektor pos pula terus melaksanakan pelan transformasi pelbagai serampang yang bertujuan untuk meningkatkan prestasi kewangannya dan mengoptimumkan inisiatif yang diterajui oleh margin.
“Begitu juga dengan sektor aeroangkasa, yang tertumpu kepada mempercepatkan produktiviti untuk mengendalikan tempahan pesawat pasca pandemik,” katanya.
Ia menambah sektor perbankan, pertahanan, perkhidmatan dan hartanah kumpulan itu juga turut mengukuhkan operasi teras mereka bagi memastikan pertumbuhan mampan sepanjang kitaran perniagaan yang mencabar.
Sponsored by Egroup88