Lelaki mati ditembak di kepala, dua suspek ditahan
KUALA LANGAT: Dua suspek ditahan bagi membantu siasatan kes seorang lelaki yang ditemui mati dengan empat kesan tembakan dalam kejadian berhampiran Balai Polis Sungai Jarom di sini, pada 18 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata kedua-dua lelaki tempatan itu ditahan di sekitar pekan Banting pada jam 6.30 petang pada Selasa lalu .
“Tangkapan dua suspek berusia 19 dan 32 tahun itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.
“Mereka kini dalam tahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan kes bunuh terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Ridhwan berkata, pihaknya masih giat mengesan dua lagi individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam pada 18 Mei lalu, mangsa berusia 39 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dengan kesan empat tembakan di kepala.
Pemeriksaan pasukan forensik polis Selangor telah menemui lima kelongsong peluru.
Semakan mendapati mangsa mempunyai 13 rekod lampau atas pelbagai kesalahan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sponsored by Egroup88