‘Umi… tolong Umi…’
TANAH MERAH: Keseronokan mencari etak bertukar menjadi tragedi apabila dua beradik ditemukan lemas di Sungai Tebing Tinggi di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 11 pagi tadi, Mohd Fauzi Mohd Yaacob, 29, dan adiknya, Mohd Shah Iskandar, 10, dipercayai tergelincir ke dasar sungai sebelum lemas.
Ibu tirinya, Siti Zubaidah Marikan Yassin, 45, berkata mereka sekeluarga bersama suami, Mohd Yaacob Mat Jusoh, 63, ke sungai itu kira-kira jam 8.30 pagi untuk mengutip etak.
“Fauzi seronok nak mencari etak pagi tadi dan walaupun sudah mengutip lebih daripada mencukupi untuk juadah kami sekeluarga, dia tak nak balik sebab nak kutip lagi banyak.
“Dia mencari bersama Mohd Shah manakala saya dan suami hanya berjarak beberapa meter daripada mereka dengan masing-masing leka mengutip etak,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanah Merah di sini, malam ini.
Siti Zubaidah berkata, tidak lama kemudian beliau mendengar Mohd Shah menjerit dan melaungkan ‘Umi, tolong Umi’.
Sebalik berpaling, beliau ternampak Fauzi turut tenggelam timbul, dipercayai cuba menyelamatkan adiknya yang sudah tenggelam.
“Saya dan suami cuba menyelamatkan mereka tapi kami pun nyaris lemas sebelum diselamatkan orang awam yang mengutip etak di situ
“Kami tak dapat buat apa-apa, cuma tunggu pihak berkuasa tiba dan tak lama selepas itu, mayat anak kami ditemui tidak jauh dari tempat tenggelam,” katanya.
Siti Zubaidah berkata, Mohd Fauzi dan Mohd Shah Iskandar amat rapat walaupun berlainan ibu.
Mengenang tindak-tanduk anak tirinya sebelum kejadian, beliau menganggapnya sebagai petanda Mohd Fauzi akan pergi kerana beriya-iya mahu mencari etak sepuas hati.
Jenazah dua beradik itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chenok, Pasir Mas, dekat sini tengah malam ini.
Sponsored by Egroup88