UMNO risik kerusi AMANAH perkara biasa – Mat Sabu
BAYAN LEPAS: Parti Amanah Negara (AMINAH) tidak menafikan terdapat usaha daripada UMNO merisik kerusi milik parti berkenaan yang boleh ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Bagaimanapun, Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu, menyifatkan situasi itu sebagai perkara biasa dan kini masih berada pada peringkat rundingan.
“Itu perkara biasa (merisik kerusi AMANAH) dan kita masih dalam perbincangan. Keputusan akhir hanya akan ditentukan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Rahmah Aidilfitri anjuran AMANAH Pulau Pinang di Teluk Kumbar di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan AMANAH memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di kerusi parti it, namun enggan mengulas lanjut perkara berkenaan.
“Saya tak boleh kata kita bersedia atau tidak, tetapi kita sedang berunding.
“Apa saja keputusan akan dibuat selepas berunding dan selalunya rundingan akan selesai apabila hampir pilihan raya,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan meminta semua parti politik mengamalkan politik matang biarpun mempunyai ideologi dan latar belakang politik berbeza.
Beliau turut menggesa semua pihak tidak meniru komplot yang boleh mengundang kepada kemelut yang membinasakan negara seperti berlaku di luar negara.
“Kita berbeza parti di sini (tetamu yang datang rumah terbuka), ada daripada AMANAH, PKR UMNO, PAS, BERSATU, tetapi kita semua mengamalkan politik secara matang, kita berjuang mengikut ideologi parti yang penyelesaiannya kita serahkan kepada rakyat dan bincang dalam suasana harmoni.
“Kita nampak perpaduan antara kita dan sambut hari raya dalam keadaan perpaduan…umumnya pembangkang atau pemerintah di Malaysia hidup dalam keadaan aman, tenteram dan perbezaan pandangan diurus dengan baik,” katanya.
Sponsored by Egroup88