‘Doakan saya lebih lama tadbir negara, mahu bawa perubahan’

KLANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat mendoakan beliau dapat mentadbir negara lebih lama bagi merealisasikan usahanya untuk membawa perubahan kepada negara.

Perdana Menteri berkata, pihaknya perlu melakukan tindakan tegas dan keras pada peringkat kepimpinan atasan kerana tidak mahu berlaku kerosakan dalam sistem pentadbirannya.

Katanya, beliau tidak akan bertolak ansur dalam aspek itu kerana tidak mahu Malaysia dikenali lagi dengan negara yang mempunyai skandal rasuah, permusuhan kaum dan pergaduhan.

Malah, beliau berkata, rakyat dan negara tidak berupaya diangkat dalam konteks Madani jika tiada perubahan sanggup dilakukan dari peringkat atas hingga ke bawah.

“Sebab itu kalau dalam tindakan yang keras dan tegas, saya mula dari atas kerana rosaknya sistem negara adalah daripada pimpinan di atas.

“Kalau jadi Perdana Menteri, Menteri Kewangan, pimpinan negeri atau penjawat tinggi, jika kerja mereka cari kekayaan diri sendiri, keluarga, anak, isteri atau menantu, jahanam negara.

“Sebab itu saya tidak sanggup bertolak ansur…apa pun ugutan dan ujian saya bawa roh Ramadan, mesti ada usaha membersihkan jiwa dan diri jika kita pegang jawatan untuk sistem negara.

“Kita tidak mahu lagi negara heboh dengan skandal rasuah…kita amanahkan kepada pimpinan… pimpinan pula silih berganti…berapa Perdana Menteri sudah ada beberapa tahun ini…doa bagi saya lama sikit,” katanya berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada pelajar tahfiz serta anak yatim di Masjid Ahmadi, Kampung Rantau Panjang, di sini.

Pada masa sama, Anwar berkata, perubahan terhadap negara hanya boleh memberikan kesan jika ia dilakukan dengan penuh keikhlasan dan tekad.

“Kita cuba bawa perubahan kepada negara ini…kita tidak boleh kekal di tahap lama.

“Saya tidak peduli orang guna slogan apapun, persatuan, Melayu, Islam, Keadilan…apapun tidak akan beri kesan jika tiada keikhlasan dan tekad membuat perubahan,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut mempertikaikan tindakan pihak yang menyerangnya ekoran isu membabitkan penceramah dihalang mengajar agama Islam di beberapa negeri disebabkan tiada tauliah.

Perdana Menteri sebaliknya berkata, beliau tidak boleh memberikan tauliah mengajar agama Islam, sebaliknya ia tertakluk kepada pihak berkuasa agama Islam di setiap negeri yang terletak di bawah kuasa raja.

“Kita tidak mahu masjid atau surau dijadikan gelanggang maki hamun atau mencerca.

“Sebab itu Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) dan Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) pesan pada saya, masjid diimarahkan dan hanya yang ada tauliah dibenarkan (mengajar).

“Ia bukan keputusan saya, kenapa nak serang saya, kerajaan dan menteri…ini keputusan raja-raja,” katanya

Sebelum ini, beberapa penceramah terkenal termasuk Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Muhammad Wadi Annuar tidak dibenarkan mengajar agama Islam di Selangor berikutan tiada tauliah.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.